Malaysia tegas kekalkan keamanan, kestabilan di Laut China Selatan

Malaysia tegas kekalkan keamanan, kestabilan di Laut China Selatan

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kerjasama di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Laut China Selatan merupakan koridor maritim penting dengan kira-kira 21 peratus perdagangan maritim global bernilai lebih USD 3.37 trilion (RM13.99 trilion) melalui perairan itu setiap tahun.

“Pelan Induk ASEAN mengenai Kesalinghubungan (MPAC) 2025 turut mengukuhkan kepentingan logistik lancar serta laluan maritim di rantau utama ini,” katanya pada Persidangan Laut China Selatan (SCS) MIMA 2025 siri kelapan di ParkRoyal Collection Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Beliau berkata selain perdagangan, Laut China Selatan juga kaya dengan sumber marin dan tenaga.

“Sebagai salah satu kawasan penangkapan ikan paling produktif di dunia dan rumah kepada anggaran 190 trilion kaki padu gas asli serta 11 bilion tong minyak, ia menawarkan peluang ekonomi signifikan bagi negara pesisir termasuk Malaysia.

“Ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada laut kerana negara kita merupakan negara maritim dengan hampir 40 peratus Keluaran Negara Kasar diperoleh daripada aktiviti maritim dan lebih 98 peratus perdagangan dari segi jumlah diangkut melalui laut.

“Pada 2024, jumlah perdagangan maritim Malaysia melebihi 778 juta tan, menjadikan pelabuhan negara antara 20 pelabuhan teratas dunia dari segi pengendalian kontena,” katanya.

Dalam ucapannya, Hasbi menghargai sokongan padu penyokong utama persidangan antaranya Suruhanjaya Tinggi Australia, Delegasi Kesatuan Eropah, Kedutaan Jepun, Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan Republik Rakyat China atas kerjasama berterusan mereka.

“Penyertaan mereka mencerminkan komitmen Malaysia terhadap pendekatan inklusif, seimbang dan bekerjasama dalam menangani cabaran maritim,” katanya.

Tema persidangan SCS tahun ini ialah ‘Kesatuan Serantau dan Ketetapan Strategik di Laut China Selatan’, selari dengan pendekatan Malaysia terhadap kerjasama maritim yang inklusif dan konstruktif.

Hasbi berkata, pelancaran pertama Transport Expo Asia (TXA) menempatkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penyelesaian pengangkutan lestari dan berasaskan teknologi.

“TXA bertujuan memupuk inovasi serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara pesisir Laut China Selatan. Penting untuk mengekalkan kemakmuran serantau bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laut keamanan,” katanya.

Beliau mengulas ketegangan geopolitik terkini di Ukraine dan Timur Tengah, dan bagaimana konflik di darat boleh menjejaskan rantaian bekalan maritim.

“Serangan berhampiran Selat Bab el-Mandeb mengurangkan sebanyak 80 peratus panggilan kapal dan jumlah kargo di Laut Merah pada 2024. Sekatan di zon konflik lain turut meningkatkan kemunculan ‘armada gelap’, menimbulkan risiko besar kepada keselamatan maritim dan alam sekitar.

“Perkembangan ini mengingatkan kita bahawa ketidakstabilan di mana-mana boleh menjejaskan keselamatan maritim di seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan keutamaan Malaysia dalam melindungi komuniti pesisir dan sumber pendapatan maritim.

“Saya menyeru dialog berterusan, langkah membina keyakinan dan kepatuhan tanpa kompromi terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982).

“Dengan tujuan bersama, ketetapan strategik, dan komitmen tulen daripada semua pihak, Laut China Selatan boleh kekal sebagai laut keamanan, kestabilan, dan kemakmuran bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN