Malaysia-Indonesia bangun loji perintis REE di luar China - Utusan Malaysia

Malaysia-Indonesia bangun loji perintis REE di luar China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar China yang membangunkan loji perintis bagi pemprosesan unsur nadir bumi (REE) daripada sumber ion adsorption clay (IAC), hasil kerjasama strategik antara Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia dan Univesiti Teknologi Petronas.

Kesepakatan itu dimeterai di Indonesia Research and Innovation Expo (InaRI Expo) 2025 yang berlangsung di Jakarta International Expo (JIExpo), melibatkan Pusat Riset Teknologi Bahan Nuklir, Limbah Radioaktif (PRTBNLR) BRIN dan Greensnow SDN BBN syarikat berpengkalan di Kuala Lumpur serta pihak penyelidikan dari Malaysia.

Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem sains dan teknologi serantau, selain membuka jalan ke arah penguasaan teknologi pengolahan REE bebas radioaktif iaitu satu bidang strategik yang selama ini didominasi oleh China.

Ketua Organisasi Riset Tenaga Nuklir (ORTN) BRIN, Syaiful Bakhri berkata, projek itu menandakan komitmen kedua-dua negara untuk berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan tenaga nuklear dan mineral nadir bumi.

“BRIN telah menguasai teknologi pemisahan uranium, thorium dan logam tanah jarang. Melalui kolaborasi ini, kami ingin mengimplementasikan hasil penyelidikan lebih jauh dan mendorong hilirisasi teknologi bersama Malaysia,” katanya.

Katanya, Indonesia kini memiliki keupayaan teknikal untuk memisahkan logam tanah jarang (LTJ) dengan kadar kemurnian uranium dan thorium di bawah 50 ppm, serta kapasiti pemprosesan sehingga 50 kilogram bagi setiap batch di peringkat perintis.

Dalam pada itu, pembangunan loji perintis di Malaysia dijangka dilaksanakan dengan dukungan teknikal BRIN serta sokongan institusi penyelidikan tempatan, termasuk universiti awam dan agensi teknologi negara.

Loji tersebut bakal menjadi yang pertama di dunia di luar China yang memproses REE daripada sumber IAC, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik untuk membangunkan industri hiliran seperti pembuatan magnet, bateri, dan komponen tenaga hijau.

Kerjasama ini juga membuka peluang kepada Malaysia dan Indonesia untuk membangunkan rantaian bekalan REE yang lebih mampan, selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkukuh ekonomi hijau dan mengurangkan kebergantungan kepada import bahan strategik.

Sementara itu, Greensnow Sdn. Bhd sebuah syarikat berpangkalan di Malaysia yang pernah bekerjasama dengan BRIN dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), turut memainkan peranan sebagai pemangkin teknikal dalam pelaksanaan awal projek.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Abdul Mubin Nik Mahmood menjelaskan, loji perintis yang akan dibangunkan di UTP kelak menjadi sambungan kepada projek penyelidikan bersama terdahulu dengan BRIN.

Namun, penglibatan sektor swasta hanya dilihat sebagai pelengkap kepada inisiatif kerajaan-ke-kerajaan yang lebih besar, dengan fokus utama kepada pembangunan kapasiti teknologi, pemindahan ilmu, dan inovasi bersama antara dua negara jiran ASEAN itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN