Malaysia berpotensi jadi hab REE ASEAN

Malaysia berpotensi jadi hab REE ASEAN

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab utama sumber mineral nadir bumi (REE) di ASEAN sekiranya dapat memanfaatkan peluang yang terhasil daripada Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia-Amerika Syarikat 2025.

Pengarah (Bahagian Pengurusan Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abdul Hafidz Yusoff berkata, kekuatan Malaysia terletak pada sumber nadir bumi yang melimpah, kewujudan pusat pemprosesan terbesar di luar China serta kepakaran tempatan dalam bidang teknologi kimia, kejuruteraan dan geologi.

“Kita bukan sahaja mampu memproses bahan mentah, malah berpotensi menjadi pemain strategik dalam membentuk hala tuju geopolitik baharu rantau ini.

“Perjanjian ini boleh menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab REE di ASEAN dengan kerjasama negara-negara seranta,” katanya.

Namun, peluang tersebut perlu diteliti secara berhati-hati bagi memastikan kepentingan negara tidak tergadai, khusus­nya dalam sektor mineral kritikal dan nadir bumi.

“Malaysia tidak boleh mengenakan sekatan eksport, kuota atau larangan terhadap mineral kritikal dan REE ke Amerika Syarikat. Ini bermakna aspek keselamatan bekalan akan lebih memihak kepada AS,” katanya.

ABDUL HAFIDZ YUSOF

Beliau berkata, perjanjian itu juga tidak memperincikan sama ada larangan tersebut hanya merangkumi REE mentah atau termasuk bahan yang telah diproses. Jika melibatkan REE mentah, katanya,

Malaysia berisiko kehilangan potensi nilai tambah kerana eksport sepatutnya difokuskan kepada bahan yang sudah diproses dan bernilai tinggi.

“Kita tidak mahu kekal sebagai pengeksport bahan mentah. Malaysia perlu memastikan rantaian industri hiliran REE dibangunkan dalam negara, termasuk pemprosesan dan pembuatan produk,” katanya.

Abdul Hafidz berkata, syarat perjanjian tersebut turut memberi kelebihan kepada syarikat asing seperti Lynas yang merupakan pembekal utama REE kepada industri pertahanan AS.

“Dengan adanya perjanjian ini, syarikat seperti Lynas mungkin lebih terlindung daripada tekanan kerajaan berkaitan isu lesen, cukai dan alam sekitar. Ini boleh mengurangkan kuasa rundingan Malaysia,” katanya.

Malaysia katanya, perlu menandatangani perjanjian seumpama itu dengan kuasa lain seperti China, Rusia, Kesatuan Eropah, Korea dan Jepun bagi memastikan rantaian bekalan REE tidak bergantung kepada satu pihak sahaja.

Negara dianggarkan memiliki 16 juta tan metrik sumber REE, menjadikan Malaysia pemain baharu yang signifikan dan berpotensi besar menarik perhatian kuasa besar dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN