KUALA LUMPUR: Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif menyatakan rasa puas hati terhadap pencapaiannya sepanjang 500 hari menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 15 Ogos tahun lalu terutamanya dalam membina asas kukuh untuk pembangunan masa depan ibu negara.
Katanya, tempoh berkenaan menyaksikan pelaksanaan pelbagai visi dan program yang dirancang sejak hari pertama beliau memegang jawatan itu dan berharap usaha berkenaan dapat diteruskan penggantinya, Datuk Fadlun Mak Ujud.
“Sepanjang 500 hari, saya sangat jarang bercuti, masih ada lebih 60 hari cuti tidak digunakan. Saya bekerja dari pagi hingga malam dan jika lihat rekod ‘punch card’ hampir tiada hari saya keluar awal.
“Ada ketika saya pulang jam 8 malam atau 10 malam, malah hingga 2 pagi. Pasukan saya sudah biasa bekerja dengan saya hingga lewat malam kerana banyak tugas perlu diselesaikan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Lambaian Kasih Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-15 di sini hari ini.
Tempoh pelantikan Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan setahun lebih awal bagi membolehkannya menyertai Petronas sebagai Penasihat Hartanah yang akan berkuat kuasa 17 November ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang bersetuju tempoh perkhidmatan Maimunah dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.
Maimunah menegaskan antara pencapaian terbesar ialah pewartaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) pada 28 Mei lalu yang membuka ketelusan pembangunan membabitkan lebih 176,000 lot tanah di seluruh bandar raya.
“Ia adalah reformasi struktur terpenting dalam satu dekad. Pelabur kini tahu zoning, density dan cadangan pemajuan sebelum membeli tanah. Saya berbangga kerana proses itu berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan saya,” katanya.
Beliau berkata pelan itu menjadi asas kepada pembangunan bandar yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya tahan, selain membolehkan semakan lebih 60 projek pembangunan dilakukan bagi memastikan ia memenuhi prinsip kemampanan dan kesejahteraan rakyat kota.
Dalam aspek kewangan, Maimunah memimpin rombakan pentadbiran perolehan sehingga DBKL mencatat lebihan operasi buat pertama kali dalam lebih sedekad.
“Daripada defisit beratus juta sebelum ini, kita berjaya mencapai surplus RM27.6 juta pada 2024. Itu menunjukkan keberkesanan pendekatan berhemah dan integriti,” katanya. – UTUSAN










