Mahu berkompromi, Dr Afifah enggan anak hilang figura bapa - Peguam - Utusan Malaysia

Mahu berkompromi, Dr Afifah enggan anak hilang figura bapa – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun perkahwinan sudah dihujung tanduk, namun penyanyi, Ahmad Nubhan, 39 dan isteri, Dr Afifah Hidayah Tawfek mahu memberikan kerjasama menyelesaikan isu hak penjagaan anak secara baik.

Menurut peguam mewakili Dr Afifah Hidayah, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff, anak guamnya dan pihak plaintif saling berkomunikasi dengan baik dalam isu melibatkan hak penjagaan dan kebajikan tiga orang anak mereka.

“Apa yang saya boleh kongsikan anak guam saya dan Encik Nubhan memang boleh bertoleransi apabila melibatkan urusan anak.

“Sejak hari pertama lagi, anak guam saya telah maklumkan bahawa dia mahu kesemua anaknya tetap mempunyai figura seorang bapa dan ibu.

“Tambahan pula anak-anak memang rapat dengan mereka berdua,” katanya.

Ummi Kartini ditemui Utusan Malaysia semasa sebutan pertama prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, jelas Ummi, walaupun tiga orang anak mereka iaitu Aafiya Kamilia, 7, Ahmad Aaffan, 5, Afzan Nayille, 4, dalam jagaan anak guam, namun Afifah memberikan kerjasama yang baik untuk Nubhan bertemu mereka.

“Setakat ini bedasarkan apa dikongsikan anak guam saya, Encik Nubhan dan anak-anak ada berjumpa.

“Dia memberi waktu buat Nubhan dan anak-anak tanpa sebarang halangan.

“Saya lihat apapun yang terjadi antara mereka, keutamaan mereka tetap anak-anak dan mahu memudahkan semua urusan demi anak,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Nubhan telah memfailkan tuntutan hadanah iaitu hak penjagaan penuh dan interim tiga orang anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada September lalu.

Terdahulu, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Nubhan membuat permohonan itu  memohon mahkamah untuk mengesahkan lafaz yang  dibuat pada 2017 dan Ogos lalu, serta satu lafaz rujuk selepas talak pertama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN