PETALING JAYA: Buat pertama kalinya, Madani Business Awards 2025 bakal meraikan usahawan dan korporat Malaysia yang berjaya menggabungkan kejayaan komersial dengan impak sosial.
Dianjurkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia Selangor (DPIM Selangor) bersama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Yayasan Generasi Malaysia, majlis anugerah sulung ini akan berlangsung pada 28 November 2025 di Intercontinental Kuala Lumpur. Ia bertujuan mengetengahkan organisasi serta pemimpin yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan inklusif negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohd Yahya Mat Sahri berkata penganjuran ini mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam memupuk amalan perniagaan bertanggungjawab selaras dengan kerangka Malaysia Madani.
“Madani Business Awards mengiktiraf usahawan yang mencapai kejayaan komersial sambil memberi impak positif kepada masyarakat, berasaskan enam nilai Malaysia Madani: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan,” katanya.
Selaras dengan tema ‘Excellence With Values’, nilai Ihsan dan Amanah turut ditekankan sebagai panduan penting dalam memastikan perniagaan memberi manfaat kepada masyarakat secara adil, beretika dan bertanggungjawab.
Anugerah ini menilai kecemerlangan organisasi dari aspek strategi perniagaan, pertumbuhan dan amalan terbaik.
Penilaian dilakukan oleh lembaga penasihat serta panel pakar industri melalui indikator kewangan, operasi dan kelestarian jangka panjang untuk memastikan proses yang telus dan menyeluruh.
Antara kategori utama termasuk Anugerah Kecemerlangan Utama, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Tokoh Korporat & Usahawan serta Anugerah Kehormat. Organisasi media dan pempengaruh media sosial yang mempromosikan nilai positif juga akan diberi pengiktirafan.
Perniagaan yang menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan, pengalaman pelanggan dan daya saing dalam landskap ekonomi Malaysia akan menjadi salah satu kriteria dalam mengiktiraf penerima anugerah.
Calon mesti beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan melalui penilaian ketat panel pakar, merangkumi prestasi, tadbir urus, inovasi dan sumbangan sosial yang disokong oleh pasukan penyelidikan.
“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana amalan perniagaan yang bertanggungjawab boleh bergerak seiring dengan kejayaan komersial,” tambah Mohd Yahya.
Majlis anugerah ini, disokong Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani, memacu inovasi bertanggungjawab, memperkukuh kesejahteraan komuniti, serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi inklusif, mampan, dan berdaya saing. – UTUSAN









