GEORGE TOWN : Kerajaan negeri diingatkan agar tidak menjadikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara sebagai satu lagi projek ‘gajah putih’ di Pulau Pinang.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, dalam hal ini, barisan pembangkang telah mengambil pendirian rasional bahawa projek itu sudah diluluskan dan sedang berjalan.
Bagaimanapun katanya, fokus kerajaan mestilah memastikan pelaksanaan menepati masa, bajet dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak mahu LRT itu nanti menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’. Seperti peribahasa, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula keciciran.
“Kita bimbang kerajaan terlalu mengejar projek mega sehingga perkhidmatan asas yang penting untuk rakyat seperti bas, laluan perantara dan penyuraian trafik diabaikan,” katanya ketika sesi perbahasan semasa sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, secara umumnya, jajaran LRT hanya meliputi empat kawasan Parlimen sahaja iaitu di Bayan Baru, Jelutong, Bukit Gelugor dan Tanjong manakala di Seberang Perai, LRT hanya ‘berhenti’ di Penang Central (Parlimen Bagan).
“Baki kawasan lain termasuk Balik Pulau, Bukit Bendera, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan lain-lain termasuk kawasan luar bandar langsung tidak termasuk dalam fasa awal sedangkan keseluruhan rakyat akan menanggung kos pembangunannya.
“Jadi, timbul persoalan sama ada LRT benar-benar mewakili keperluan seluruh negeri atau hanya memberi manfaat kepada kawasan tertentu sahaja?” soal beliau yang juga mahu kerajaan negeri menyatakan secara terperinci mengenai 236 lot yang dijangka terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek LRT itu serta status kajian impak sosial (SIA).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Pulau Pinang kini berada di ambang krisis mobiliti apabila merekodkan 2.67 juta kenderaan setakat Oktober 2024, dengan 1.52 juta motosikal dan 1.15 juta kereta persendirian iaitu bersamaan hampir dua kenderaan bagi setiap penduduk.
“Meskipun Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) menetapkan sasaran nisbah penggunaan 40 peratus pengangkutan awam berbanding 60 peratus kenderaan persendirian pada 2030, realiti semasa sebenarnya adalah jauh tersasar.
“Dengan 2.6 juta kenderaan di jalan raya (sejak 2022) dan pertambahan itu dilihat berterusan setiap tahun, maka, kita perlu jawab persoalan asas. Adakah sasaran 40:60 ini realistik atau sekadar aspirasi tanpa pelan tindakan jelas?” soal beliau lagi.-UTUSAN










