KUALA LUMPUR: Isu perbelanjaan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama terpilih mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat hari ini apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan keutamaan peruntukan yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Shahidan mempersoalkan kaedah pemilihan kontraktor sama ada dilakukan secara terbuka atau tertutup bagi projek pemasangan CCTV di 200 sekolah berasrama serta lokasi terbaik pemasangan bagi mengelak kejadian buli tanpa menjejaskan privasi pelajar.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai jumlah peruntukan serta membandingkan kos pemasangan CCTV sebanyak RM3 juta dengan perbelanjaan hampir RM9 juta untuk pengedaran lencana Jalur Gemilang sebelum ini.
“Kalau untuk lencana Jalur Gemilang boleh belanja hampir RM9 juta, kenapa tidak boleh tambah sedikit untuk CCTV yang boleh selamatkan pelajar daripada jadi mangsa buli?,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerajaan telah menambah peruntukan sebanyak RM5 juta lagi bagi memperluas pemasangan CCTV di sekolah berasrama.
“Dengan tambahan ini, keseluruhan 533 sekolah berasrama kini akan dilengkapi sistem CCTV sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan kebajikan pelajar di kawasan asrama,” katanya.
Katanya, peruntukan asal sebanyak RM3 juta digunakan untuk 200 sekolah dan kerja-kerja pemasangan sedang giat dijalankan manakala tambahan RM5 juta pula bagi 333 sekolah asrama lain yang belum dilengkapi kemudahan tersebut.
“Langkah ini penting bagi memastikan kejadian buli dapat dikesan dan dicegah lebih awal, selain membantu pihak pentadbiran sekolah memantau keselamatan pelajar dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










