BUKIT MERTAJAM : Seorang lelaki warga Nepal hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan iaitu membunuh seorang wanita dan anak angkatnya di sebuah rumah di Juru, bulan lepas.
Ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Akit, tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, hanya menganggukkan kepala sebagai tanda faham.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah bernombor 502 di Kampung Sekolah, Juru di sini, pada 18 Oktober lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh seorang kanak-kanak iaitu Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan pertuduhan pertama.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara tempoh 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.
Difahamkan, sekiranya hukuman gantung itu tidak dilaksanakan, sebatan tidak kurang daripada 12 kali perlu dilakukan jika tertuduh didapati bersalah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala tertuduh hadir tanpa diwakili peguam.
Ketika prosiding, Anis Suhada bagaimanapun tidak menawarkan jaminan selain memohon tarikh sebutan diberikan untuk tujuan laporan forensik telefon bimbit, kimia dan bedah siasat.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa dilaporkan dijumpai mati dalam keadaan tragis dan menyayat hati di rumah sewa mereka apabila beberapa anggota badan termasuk kepala dikatakan hampir putus akibat ditetak oleh suspek.










