JOHOR BAHRU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, minggu lalu.
Tertuduh, Hishamudin Kumaran Abdullah, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Nor Aziati Jaafar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan di sebuah surau dekat Taman Hidayat, Pekan Nenas, Pontian, kira-kira jam 7.40 malam, 8 November lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan lelaki itu diikat jamin atau tidak.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Januari 2026 bagi serahan dokumen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak berkenaan berhubung satu kejadian amang seksual fizikal.
“Pengadu mendakwa didatangi imam surau yang memaklumkan bahawa ketika anaknya sedang menunggu solat isyak, kanak-kanak itu didekati seorang lelaki tidak dikenali yang juga jemaah surau berkenaan.
“Lelaki itu dikatakan meraba kanak-kanak berkenaan dan kemudian pihak surau melihat CCTV bagi kepastian. Hasil siasatan mendapati lelaki itu telah memberikan wang RM10 kepada mangsa sebelum melakukan perbuatan cabul itu.
“Mangsa yang takut kemudian memaklumkan kepada imam surau dan kemudian kami menahan lelaki yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan itu,”katanya. – UTUSAN










