TEMERLOH: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 147, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berhampiran Kampung Desa Bakti, Mentakab, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, mangsa yang berusia 79 tahun dan merupakan penumpang kereta Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk hadapan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 68 tahun dari arah Lanchang menuju Temerloh dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian melanggar bahagian hadapan kanan sebuah BMW yang datang dari arah Temerloh menuju Lanchang.
“Pelanggaran tersebut mengakibatkan penumpang lelaki di dalam Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta dua lagi penumpang termasuk anak perempuan mereka berusia 31 tahun cedera ringan,” katanya hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu Perodua Myvi mengawal kenderaan yang dipandunya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian. Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










