ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan bersama 112.43 kilogram (kg) bunga ganja yang dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan laluan tikus di Chuping, Perlis pada Rabu lalu.
Suspek berusia 24 tahun yang berperanan sebagai transporter itu dicekup kira-kira pukul 2.30 petang di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.
Dia juga dipercayai tidak sempat berseronok dengan wang upah kira-kira RM18,500 bagi membawa bunga ganja bernilai RM4.04 juta itu kepada sindiket penyeludupan dadah yang berpangkalan di Air Hitam, Pulau Pinang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek memandu kenderaan MPV jenis Toyota Vellfire yang didakwa disewa sindiket penyeludupan dadah terbabit.
“Dia memandu ke Chuping sebelum tiga lelaki tempatan bermotosikal, disyaki ahli sindiket mengambil kenderaan itu dan meninggalkannya di sekitar kawasan berkenaan.
“Dalam tempoh kira-kira 20 minit, ahli sindiket dikatakan menyerahkan semula MPV kepada suspek selepas mereka meletakkan dadah di bahagian belakang kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Adzli berkata, siasatan awal mendapati suspek menerima upah awal RM16,000 melalui transaksi dalam talian, sementara baki akan diserahkan selepas penghantaran selesai.
Katanya, bekalan dadah itu dipercayai untuk dibawa ke ibu negara dan jika terlepas, boleh digunakan oleh 224,874 penagih.
“Suspek negatif dadah dan ada tujuh rekod jenayah berkaitan judi, dia kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut. Kita sedang giat mengesan ahli sindiket lain,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang duda berusia 59 tahun ditahan di Permatang Bonglai, Air Itam pada 29 Oktober lalu kerana disyaki memiliki ganja seberat 15.5kg.
Adzli berkata, suspek mendakwa dadah itu diserahkan seorang lelaki dikenalinya untuk disimpan di rumahnya sejak lima hari sebelum serbuan dilakukan polis.
“Ganja itu disyaki dibawa masuk dari Satun, Thailand melalui laluan laut. Pada hari suspek ditangkap, dalang sindiket itu turut ditahan di Arau, Perlis bersama 3.3kg ganja,” katanya. – UTUSAN










