Legasi Marina Chin diiktiraf, terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan UniSZA

Legasi Marina Chin diiktiraf, terima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan UniSZA

MARINA Chin menunjukkan sijil Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan yang diperolehnya pada Majlis Konvokesyen UniSZA ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kecemerlangan dan dedikasi legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin, 70, dalam membangunkan sukan tanah air menerima pengiktirafan apabila beliau dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan oleh Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-17 di sini, hari ini sebagai tanda penghormatan terhadap jasa besar Marina dalam bidang kejurulatihan, pendidikan dan pentadbiran sukan negara.

Bekas ratu pecut dan lari berpagar negara itu pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa dengan meraih satu pingat emas dan tiga perak di Kejohanan Olahraga Asia, serta enam pingat emas dan lima perak di Sukan SEA.

Selepas bersara daripada dunia olahraga, Marina menyumbang kepada pembangunan sukan menerusi peranan penting di pelbagai peringkat termasuk Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil, Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia dan kini Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut Marina, anugerah itu bukan sekadar penghargaan peribadi sebaliknya simbol kepada perjuangan semua atlet dan penggiat sukan yang komited membangunkan negara.

“Saya syukur dan berterima kasih atas pengiktirafan ini. Ia bukan sekadar untuk saya tetapi buat seluruh komuniti sukan, jurulatih, pegawai dan atlet yang telah bekerja keras demi kemajuan sukan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UniSZA di sini, hari ini. 

Beliau berkata, kejayaan dalam sukan tidak berakhir di garisan penamat kerana setiap atlet masih boleh terus menyumbang selepas bersara melalui bidang kejurulatihan, pengurusan dan pendidikan.

“Proses pembelajaran dalam sukan tidak pernah berhenti. Ramai bekas atlet kini berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai jurulatih atau pensyarah sains sukan termasuk mereka yang terlibat dengan ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN),” ujarnya.

Marina berkata, penglibatan semula bekas atlet dalam ekosistem sukan amat penting bagi memperkukuh pembangunan atlet muda dan menjadikan sistem latihan negara lebih berdaya saing.

Sementara itu, beliau menyuarakan harapan agar Malaysia terus melahirkan lebih ramai jaguh dunia dalam pelbagai acara selain memastikan jurulatih tempatan mencapai standard kejurulatihan antarabangsa.

Sepanjang kerjayanya, Datuk Marina pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau turut menerima Anugerah Kepimpinan dalam Sukan Sekolah dan Anugerah Wanita dan Sukan daripada Majlis Olimpik Malaysia serta The BrandLaureate Grand Master Brand Icon Leadership Award 2017. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN