Lawak lucah, carutan dalam Klepet sudah ditapis- Pengarah - Utusan Malaysia

Lawak lucah, carutan dalam Klepet sudah ditapis- Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Klepet, Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji, mendedahkan bahawa beliau telah melakukan proses tapisan rapi termasuk menyunting kira-kira 35 minit dialog berunsur carutan yang dianggap keterlaluan sebelum menghantar karya itu kepada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Sanji bersyukur apabila LPF meluluskan Klepet dengan klasifikasi tontonan 13 tahun tanpa menafikan wujud jenaka tersirat bernuansa lucah dalam naskhah tersebut.

“Sebenarnya apa yang penonton dengar dalam filem ini semuanya sudah melalui kawalan ketat. Banyak yang saya terpaksa potong, lebih kurang 35 minit.

“Sebab itu jika anda perasan terdapat beberapa adegan ‘jump cut’. Bila dihantar ke LPF, mereka beri kita klasifikasi 13 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Sanji, tafsiran terhadap sesebuah jenaka bersifat subjektif dan bergantung kepada kebijaksanaan penonton untuk memahami konteks yang disampaikan.

“Lawak ini subjektif. Ada yang tersirat, sebab itu kita dapat klasifikasi 13 tahun ke atas. Bergantung kepada cara mereka berfikir ada yang tidak faham, ada yang faham.

“Tapi apabila LPF lepaskan, itu bermakna kita tidak sampai ke tahap melanggar sensitiviti atau garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam naskhah itu, Indra berkata beliau tertarik dengan kelainan yang dibawa oleh Klepet, meskipun ia disifatkan sebagai sebuah filem hiburan ringan.

Klepet menggabungkan pelbagai lapisan komedi daripada elemen komikal dan animasi hinggalah kepada lawak spontan yang disesuaikan mengikut babak.

“Pendekatan ini menjadikan Klepet tampil berbeza berbanding filem aksi komedi yang pernah dipertontonkan sebelum ini,” katanya.

Klepet mengisahkan tiga sekawan Paly, Jany dan Wany yang tinggal dalam sebuah ‘motorhome’ untuk mengembara.

Namun, perjalanan mereka bertukar huru-hara selepas kemunculan seorang gadis dari Ukraine.

Filem ini dijadualkan menemui penonton bermula 27 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN