Kursus TVET gunting rambut tingkat pendapatan pesara TLDM - Utusan Malaysia

Kursus TVET gunting rambut tingkat pendapatan pesara TLDM

KHARIRUL Anwar Abd. Rahim menawarkan khidmat menggunting rambut di kedai dan datang ke rumah pelanggan di sekitar Kuala Kangsar. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Perkhidmatan menggunting rambut menjadi pekerjaan baharu buat Kharirul Anwar Abd. Rahim, 37, selepas bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Semuanya bermula selepas dia menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) iaitu kursus menggunting rambut selama dua bulan dan pemantauan di lapangan selama dua bulan.

Peluang menyertai Proper A MAIPk hadir ketika dia baru bersara daripada TLDM dan ketika itu buntu untuk mencari pekerjaan atau berniaga kerana perniagaan berkaitan produk jualan langsung, insurans dan pertanian tidak mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.

“Kursus dan bantuan MAIPk memberi pekerjaan baharu buat selepas bersara dari TLDM. Saya yakin perkhidmatan menggunting rambuat bersifat berdaya saing kerana memang diperlukan oleh pengguna.

“Saya juga menerima bantuan sebuah motosikal percuma, peralatan mesin gunting, alat pengering rambut, troli, sikat dan gunting yang berkualiti dan bermutu tinggi daripada MAIPk.

“Selain itu, saya juga didedahkan dengan pelbagai aspek pemasaran, promosi, analisis bajet, perancangan kewangan dan wang saku sebanyak RM500 sebulan selama empat bulan. Bantuan MAIPk membuka rezeki baharu buat saya,” katanya.

Perkembangan positif itu selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja yang terkenal di peringkat antarabangsa disamping berpotensi dibangunkan sebagai Koridor TVET Malaysia.

Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Keempat pelan berkenaan iaitu Koridor TVET Malaysia dan Flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat.

Kharirul Anwar berkata, pegawai MAIPk selalu melawat premisnya, NuaFar Barber Shop yang terletak di belakang pejabat Pos Manong di sini.

Menurutnya, pegawai MAIPk memberikan khidmat nasihat dan konsultansi supaya perniagaannya mencatatkan jualan yang menyakinkan dan mempelbagaikan kaedah perniagaan untuk menarik pelbagai pelanggan.

“Kedai fizikal penting bagi pelanggan yang boleh bergerak namun bagi pelanggan terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan tidak mempunyai pengangkutan seperti kereta atau motosikal terutama wanita suri rumah, perkhidmatan terus ke tempat mereka amat diperlukan,” katanya.

Katanya, bayaran menggunting bermula RM5 hingga RM15 dan mengikuti trend golongan muda yang inginkan potongan rambut versatil namun kemas.

Dia juga memberi diskaun 20 peratus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk meringankan beban keluarga terutama daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan.

“Saya bersyukur perniagaan ini memberikan pendapatan yang stabil untuk menampung perbelanjaan keluarga kerana isteri saya suri rumah sepenuh masa dan dua anak masih kecil,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN