Kraftangan Malaysia, SC jalin kerjasama

Kraftangan Malaysia, SC jalin kerjasama dan perkukuh industri kraf negara ke pasaran antarabangsa

AZALINA Adham (kiri) dan `Ainu Sham Ramli bergambar selepas bertukar memorandum persefahaman (MoU) pada Majlis Pelancaran Festival Batik Lestari 2025 & Panduan Penzahiran Kemampanan Batik (SBDG) di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Bukit Kiara, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kraftangan Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi perlaksanaan Program Batik Lestari bertempat di Dewan Atrium, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Bukit Kiara.

MoU ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kraftangan Malaysia sebagai usaha memperkukuh pembangunan mampan dalam industri kraf negara.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Haji Ramli berkata, pemeteraian (MoU) antara kedua-dua pihak merupakan langkah penting dalam usaha memartabatkan industri batik Malaysia agar terus relevan, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini adalah satu langkah kita untuk bersama-sama dengan pihak SC bagi memartabatkan industri Batik Malaysia. Dengan adanya MoU ini, Kraftangan Malaysia menyokong penuh usaha yang digerakkan oleh SC untuk menggalakkan penggunaan Matlamat Pembangunan dan Perniagaan Lestari (SBDG) dalam kalangan usahawan batik tempatan.

“Usaha ini diharap dapat menyerlahkan lagi jenama dan keunikan batik Malaysia bukan sekadar di peringkat domestik, tetapi juga antarabangsa. Ini sejajar dengan matlamat kami untuk mengantarabangsakan kraf Malaysia pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Program Batik Lestari di sini, semalam.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Abdul Halim Ali serta Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan, Khairul Hafizi Naharuddin.

Mengulas lanjut, `Ainu Sham berkata, pihaknya optimis bahawa masa depan industri batik akan terus berkembang melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan penggiat industri kreatif tempatan.

“Insya-Allah sama ada dibawa oleh Kraftangan Malaysia sendiri atau oleh pihak luar seperti sektor swasta dan jabatan kerajaan lain, kita akan terus bersama-sama memartabatkan industri kraf Malaysia ke peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SC, Datin Paduka Azalina Adham berkata, Program Batik Lestari yang dianjurkan merupakan penganjuran kali kedua dan bertujuan untuk memperkukuh promosi batik tempatan, khususnya pada tahun ini ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

“Program ini bertujuan mempromosikan industri batik di Malaysia dan kita membawa sekitar 20 reruai yang merupakan usahawan tempatan untuk memperkenalkan hasil kraf mereka.

“Selain mempromosikan, kita mahu membantu membangunkan kemampuan dan kapasiti mereka supaya batik Malaysia lebih menyerlah di seluruh dunia. Itu yang kami harapkan melalui inisiatif seperti Program Batik Lestari ini,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan peragaan fesyen 18 koleksi batik bertemakan “Pesona Batik”, yang menampilkan keanggunan serta evolusi seni batik tempatan melalui pelbagai teknik seperti discharge, retak seribu, double boiling, overlapping dan penggunaan bahan semula jadi seperti tanah liat sebagai penghalang warna.

Koleksi tersebut merupakan hasil kreativiti pereka Kraftangan Malaysia dengan kerjasama usahawan kraf tempatan.

Turut diadakan demonstrasi teknik sutera saring menggunakan bahan lilin sejuk (cold wax) serta pameran peralatan blok batik berasaskan bahan polimer oleh pereka Kraftangan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN