BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) apabila merampas 5,720 kg minyak tersebut dalam satu serbuan di Sungai Jawi, Nibong Tebal dekat sini, semalam.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan sempena Ops Tiris 3.0 itu dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam di sebuah gudang haram selepas risikan berkaitan kegiatan sindiket itu dijalankan selama sebulan.
Katanya, dalam serbuan yang sama, pihaknya turut merampas 25 unit botol minyak masak kosong yang berkapasiti 5kg, sejumlah plastik minyak masak peket 1kg pelbagai jenama yang masih kosong serta dua unit tong biru disyaki berisi cecair minyak berkapasiti 150 liter yang diguna untuk menyimpan minyak peket yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
“Kita percaya sindiket ini mencampurkan cecair minyak itu ke dalam minyak terbabit bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan tersebut bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran.
“Secara keseluruhannya, nilai rampasan bagi kesemua barangan ini dianggarkan mencecah RM16,892,” katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN negeri di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Jegan berkata, susulan rampasan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 40-an yang berada di lokasi untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, gudang tersebut telah beroperasi selama tiga bulan tanpa sebarang dokumen lesen atau permit yang sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.
“Setakat ini juga, kita tidak menolak kemungkinan bahawa bekalan tersebut diperolehi dari negeri ini dan Perak berdasarkan jenama pada peket minyak terbabit,” katanya yang memberitahu, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.-UTUSAN










