ALOR SETAR: Seramai 3,049 mangsa dipindahkan akibat banjir di negeri ini dengan Kota Setar menjadi daerah terbaru dinaiki air melibatkan sembilan buah kampung.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, kesemua mangsa daripada 1,021 keluarga kini berlindung di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di dua daerah.
“Seramai 2,247 mangsa daripada 783 keluarga ditempatkan di 15 PPS di daerah Kubang Pasu. PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pekan paling baru diaktifkan tengah malam tadi.
“Sementara di Kota Setar, banjir menyebabkan 802 mangsa daripada 238 keluarga terpaksa dipindahkan ke dua PPS yang dibuka iaitu di SK Taman Aman dan SK Taman Uda,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menjangkakan kemungkinan banjir di Kota Setar dan Padang Terap susulan beberapa sungai mencatatkan kenaikan paras air secara mendadak.
Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Bukhori Mat Sidik berkata, situasi itu meletakkan kedua-dua daerah berkenaan dalam zon berjaga-jaga sepanjang minggu ini.
Dalam pada itu, banjir di Kulim pulih sepenuhnya setelah ketiga-tiga PPS yang menempatkan mangsa banjir di daerah itu sebelum ini telah ditutup secara berperingkat sehingga petang kelmarin. – UTUSAN










