MELAKA: Sikap segelintir kontraktor tidak bertanggungjawab menurap atau menimbus pili bomba bawah tanah ketika kerja-kerja penyelenggaraan jalan telah menjejaskan keberkesanan operasi bomba.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Zaidi Ma’at berkata, kecuaian itu menganggu operasi pemadaman kerana fasiliti menyelamat itu tidak dapat digunakan semasa kebakaran.
Katanya, sebanyak 29 kompaun dikeluarkan setakat Oktober tahun ini terhadap pelbagai kesalahan melibatkan pili bomba termasuk perbuatan vandalisme, penyalahgunaan dan kecuaian pihak tertentu.
“19 daripadanya dikeluarkan di bawah Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana menutup, mengepung atau menyembunyikan pili bomba serta menggunakannya selain untuk tujuan memadam kebakaran.
“10 kompaun lagi dikeluarkan di bawah Seksyen 55 akta sama kerana merosakkan, menyembunyikan, mengaktifkan atau menyahaktifkan penggera kebakaran tanpa sebab munasabah,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka dan Pelancaran Persiapan Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil di sini hari ini.
Katanya, majoriti kesalahan tersebut adalah kali pertama dilakukan membabitkan kompaun bernilai RM100 hingga RM200 manakala jika berulang boleh dikenakan sehingga RM500.
Beliau berkata, kerjasama daripada kontraktor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) penting untuk memastikan semua pili bomba sentiasa berada dalam keadaan baik serta tidak diubahsuai tanpa kebenaran.
Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, seramai 450 pegawai dan anggota beruniform serta 50 pegawai sokongan bersiap siaga sepenuhnya dengan kekuatan logistik mencukupi bagi menghadapi MTL yang dijangka bermula 13 November ini hingga Mac tahun depan. – UTUSAN










