KL makin padat, 8,235 penduduk per km persegi

KL makin padat, 8,235 penduduk per km persegi

Kuala Lumpur mencatatkan kepadatan penduduk paling tinggi dengan 8,235 orang per kilometer persegi ekoran proses perbandaran yang pesat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bandar-bandar utama di Malaysia seperti Putrajaya mengalami kepadatan penduduk yang tinggi dengan Kuala Lumpur mencatatkan 8,235 orang per kilometer (km) persegi.

Senario itu menyebabkan ke­sesakan serius di sekolah-sekolah di kawasan bandar di negeri tersebut susulan pertambahan pelajar setiap tahun.

Keadaan diburukkan lagi dengan kekurangan tanah yang sesuai di kawasan bandar sekali gus menyukarkan pembinaan sekolah baharu melalui kaedah konvensional.

Pembinaan sekolah lazimnya memerlukan kawasan seluas 3.2 hektar bagi sekolah rendah manakala sekolah menengah memerlukan antara lapan hingga 4.8 hektar sekali gus menyukarkan pembinaan sekolah baharu di kawasan bandar yang padat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, Malaysia telah melalui proses perbandaran pesat sejak beberapa dekad lalu, menjadikannya salah satu negara dengan pertambahan penduduk bandar yang ketara di Asia Tenggara.

“Menurut Rancangan Fizikal Negara Ke-4, kadar perbandaran negara terus meningkat daripada 71 peratus pada 2010 kepada 75.8 peratus pada 2024 dan akan terus meningkat kepada 80 peratus pada 2030.

“Kadar perbandaran yang pesat ini menuntut pelbagai cabaran termasuk tekanan terhadap penyediaan keperluan kemudahan masyarakat seperti kemudahan pendidikan (sekolah) yang mencukupi,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Sehubungan itu, KPKT berkata, konsep sekolah vertikal kini dilihat sebagai penyelesaian paling mampan untuk bandar berkepadatan tinggi.

“Sekolah jenis ini dibina secara bertingkat serta mirip model yang telah diguna pakai di Australia, Singapura, Hong Kong dan Jepun.

“Konsep ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sekolah baharu di kawasan bandar padat dibina secara menegak dan bersepadu dalam kawasan kediaman serta komersial,” katanya.

KPKT berkata, Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat telah dibentang dan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-49 pada 13 Oktober 2025 yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

Katanya, garis panduan itu merupakan langkah penting ke arah merangka sistem pendidikan bandar yang moden, inklusif dan holistik selaras aspirasi Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN