PETALING JAYA: Larangan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dapat menjamin keselamatan digital sepenuhnya bagi menghalang sebarang kandungan lucah atau berbahaya daripada kanak-kanak.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, fokus kerajaan seharusnya lebih tertumpu kepada membina ketahanan digital berbanding kenakan larangan yang semata-mata tidak memadai dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang siber.
Katanya, tanpa kemahiran melayari internet dengan selamat, kanak-kanak tetap akan mencari jalan menggunakan media sosial atau mengakses laman berisiko melalui platform tidak rasmi, sekali gus menjadikan aktiviti itu lebih sukar dipantau.
“Larangan tidak akan sepenuhnya menghalang mereka terdedah kepada bahan lucah. Apa yang lebih perlu ditekankan adalah ketahanan digital berbanding larangan digital.
“Selama kanak-kanak tidak diperkasa dengan kemahiran melayari internet secara selamat, mereka tetap akan mencari jalan mengakses media sosial dan portal berbahaya melalui saluran lain. Ini jauh lebih berbahaya kerana ia menjadikan aktiviti tidak selamat sukar dikesan ibu bapa dan pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan menyasarkan larangan ke atas golongan berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial bermula 2026n berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.
Selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan juga sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan Australia dan negara lain terutama dari segi mekanisme penguatkuasaan.
Farah Dini mencadangkan, kerajaan bertindak lebih tegas terhadap penyedia perkhidmatan internet (ISP) dengan memastikan mereka mematuhi piawaian keselamatan kanak-kanak serta melengkapkan teknologi dengan ciri perlindungan khusus.
Selain itu, katanya, perlu ada pemakluman wajib kod pengesahan ibu bapa, penjaga atau guru bagi pastikan penggunaan digital kanak-kanak dalam kawalan.
“Ibu bapa perlu dibimbing mengenai pengawalan gajet dan internet berdasarkan umur dan emosi anak, termasuk membina celik digital serta mengurus masa digital dengan lebih berkesan.
“Kanak-kanak menjalani saringan kesihatan mental berkala untuk mengesan tekanan atau risiko yang mungkin timbul akibat penggunaan internet,” ujarnya.
Farah Dini turut mengesyorkan agar suara kanak-kanak dan belia mesti diambil kira dalam setiap pertimbangan dasar dan undang-undang yang melibatkan mereka.
“Tidak wajar dasar mengenai kehidupan digital mereka dibentuk tanpa penyertaan mereka sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan melabur dalam pemerkasaan digital yang inklusif agar semua kanak-kanak memiliki kemahiran membuat keputusan selamat dan bertanggungjawab di ruang siber. – UTUSAN










