Kerajaan negeri yang buat keputusan naikkan cukai - Mahdzir

Kerajaan negeri yang buat keputusan naikkan cukai – Mahdzir

MAHDZIR Khalid (kanan) pada program Jualan Kasih KEDA Madani Padang Terap di Kuala Nerang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Keputusan menaikkan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sudah diluluskan oleh kerajaan negeri meskipun perkara itu belum muktamad dan masih boleh dibantah oleh pemilik pegangan.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan negeri berkuasa penuh untuk menentukan sama ada kadar baharu yang sedang dinilai semula oleh MBAS itu boleh dikuatkuasakan atau tidak bermula 1 Januari depan.

“Di mana kerajaan negeri buat keputusan? Kerajaan negeri buat keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) maknanya kertas kerja sudah diangkat kepada Exco dan diluluskan, sebab itu keluar kerangka bayaran cukai pintu yang baharu.

“Saya baca kenyataan Datuk Bandar Alor Setar bahawa bantahan boleh dibuat sebelum 5 November dan kemudian akan dibawa dalam pendengaran awam, selepas pendengaran awam baru nak naik tetapi hakikatnya kerajaan negeri sudah buat satu keputusan untuk naikkan cukai pintu di Bandaraya Alor Setar,” katanya ketika ditemui selepas Jualan Kasih KEDA Madani Padang Terap, hari ini.

Beliau yang jugas bekas Menteri Besar Kedah mengulas kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang seolah-olah meletakkan keputusan menaikkan cukai itu di bawah MBAS tanpa penglibatan kerajaan negeri.

Ujar Mahdzir, proses bantahan, sesi pendengaran awam dan membawa semula kertas kerja kepada MMK yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hanyalah prosedur yang wajib dilalui sebelum kadar baharu dikuatkuasakan.

Tambahnya, walaupun terdapat pengelola daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di peringkat kerajaan tempatan namun kuasa mutlak dipegang oleh kerajaan negeri.

“Hanya kerajaan negeri yang berkuasa untuk membuat sesuatu polisi termasuk menaikkan cukai taksiran sebelum ia dilaksanakan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pegawai kerajaan bagi nilaian semula kadar baharu.

“Saya fikir Menteri Besar Kedah selalu sebut Kedah ini adalah tempat orang miskin berteduh dan orang kaya berbakti, kalau dikenakan cukai pintu sampai 245 peratus, saya ingat orang miskin pun tak boleh berteduh lah pasal cukai itu terlampau tinggi.

“Ini bukan soal KPKT, bukan soal pegawai kerajaan tapi ini polisi yang ditentukan oleh kerajaan negeri. Apabila polisi atau dasar yang ditentukan oleh kerajaan negeri maka pegawai akan laksanakan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN