PETALING JAYA: Musim pelaporan keputusan kewangan suku ketiga 2025 lebih positif berbanding dua suku sebelumnya dengan nisbah syarikat yang mengatasi jangkaan meningkat kepada 0.8 peratus, menurut data awal firma penyelidikan pasaran, CIMB Securities.
Setakat 23 November, sebanyak 43 syarikat atau 47 peratus daripada keseluruhan syarikat liputan telah mengumumkan keputusan masing-masing, dengan 21 peratus mengatasi jangkaan, 26 peratus tidak menepati jangkaan manakala 53 peratus selari unjuran.
Lebih ketara, saham berwajaran besar dalam FBM KLCI menunjukkan prestasi jauh lebih kukuh berbanding pasaran lebih luas, menandakan kumpulan syarikat besar terus menjadi pemacu kestabilan pendapatan dalam keadaan ekonomi global yang bercampur-campur.
Menurut laporan firma penyelidikan itu, antara penyumbang utama peningkatan prestasi ialah SD Guthrie yang mencatat keputusan lebih kukuh hasil harga produk sawit yang melebihi jangkaan, manakala 99 Speedmart pula merekodkan pertumbuhan jualan yang teguh disokong bantuan sosial kerajaan yang meningkatkan permintaan pengguna.
“Maybank turut mengatasi unjuran berikutan pendapatan bukan faedah yang lebih baik bersama prestasi stabil pendapatan berasaskan dana, manakala Maxis menunjukkan keputusan yang lebih kukuh apabila kos operasinya berada di bawah jangkaan.
“Sebaliknya, beberapa nama besar seperti Petronas Chemicals dan CelcomDigi melaporkan keputusan lebih lemah susulan margin produk yang lebih rendah serta kos dan kadar cukai yang lebih tinggi daripada anggaran penganalisis.
“Trend keputusan bercampur ini turut ketara dalam beberapa sektor lain termasuk automotif, kesihatan, sarung tangan getah serta kewangan bukan bank yang mencatat lebih banyak keputusan mengecewakan.
“Secara keseluruhan, pendapatan bersih agregat syarikat yang telah melaporkan keputusan meningkat 0.9 peratus suku ke suku, dipacu oleh prestasi lebih baik dalam sektor pembinaan, hartanah pelaburan, pengangkutan, teknologi dan beberapa segmen kewangan,” katanya.
Walaupun pendapatan keseluruhan susut 6.1 peratus tahun ke tahun disebabkan kerugian di Petronas Chemicals, angka asas menunjukkan pertumbuhan yang lebih sihat apabila syarikat itu dan Hi Mobility dikecualikan, dengan pendapatan agregat meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun.
Musim keputusan suku ketiga 2025 turut disokong oleh faktor dividen apabila 21 peratus syarikat mengumumkan pembayaran lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Perkembangan itu dilihat sebagai petanda keyakinan korporat yang semakin pulih, selaras dengan peningkatan prestasi dalam sektor teknologi dan sarung tangan yang sebelum ini menunjukkan kelemahan ketara pada separuh pertama 2025.
Trend awal musim keputusan suku ketiga menunjukkan asas pendapatan yang semakin stabil dan menjadi pemangkin kepada sentimen pasaran pada penghujung. – UTUSAN










