PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil pelbagai langkah persediaan mengurangkan impak bencana melalui pengurusan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, selain banjir yang melanda lapan negeri setakat hari ini, terdapat beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan termasuk berhampiran pangsapuri di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, pihak kementerian telah menggerakkan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) ke semua lokasi terjejas untuk menilai tahap keselamatan dan melaksanakan pembaikan segera terhadap infrastruktur kritikal seperti jalan, saliran dan cerun.
“Laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi turut ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kecelakaan manakala pemantauan 24 jam dijalankan di zon berisiko dengan kerjasama agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan.
“Saya juga telah mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian ini, khususnya JKR untuk melipatgandakan pemantauan dan meningkatkan kehadiran di lapangan.
“Selain itu, mereka juga diarah untuk bekerjasama dengan komuniti setempat, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi terlibat bagi mendapatkan maklumat situasi terkini serta memastikan maklumat rasmi disampaikan kepada rakyat dengan pantas,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak mengambil risiko berada di kawasan yang diisytiharkan bahaya.
“Kementerian bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan sedang bekerja keras demi keselamatan rakyat. Saya akan memastikan perkembangan kerja dan pemantauan disampaikan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kementerian dan agensi-agensi terlibat di bawah kementerian,” katanya. – UTUSAN










