PETALING JAYA: Peguam kepada Albert Tei mendakwa ahli perniagaan kontroversi itu telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas melakukan serbuan di kediamannya pagi tadi.
Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, ketika beliau tiba di kediaman tersebut untuk bertemu anak guamnya ,pegawai agensi berkenaan didakwa enggan memperkenalkan diri serta tidak membenarkannya memasuki rumah atau berjumpa dengan Tei.
Malah katanya, pegawai-pegawai itu hanya menghampirinya selepas beliau mengambil gambar kejadian, selain meminta secara tidak wajar untuk melihat telefon serta gambar yang dirakam.
“Tei kemudian dibawa keluar dalam keadaan bergari dan dikelilingi anggota bersenjata yang memakai balaclava, seolah-olah beliau seorang pengganas,” katanya hari ini.
Peguam itu juga mendakwa bahawa para pegawai terbabit tidak memaklumkan identiti sebenar mereka dan tidak memberitahu lokasi anak guamnya dibawa, menyebabkan beliau tidak dapat memastikan sama ada mereka benar-benar pegawai polis atau SPRM.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran hak perlembagaan anak guamnya, termasuk hak untuk mendapatkan khidmat peguam, yang menurutnya telah dinafikan.
Dalam pada itu Zaid berkata, Tei merupakan seorang pemberi maklumat dalam satu aduan rasuah, justeru tindakan terhadap anak guamnya itu menimbulkan persoalan.
“Tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa dilaporkan, iaitu bekas setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin,” katanya.
Zaid dalam masa yang sama turut mempersoalkan sama ada tindakan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap siasatan yang adil dan saksama, seperti yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehingga laporan ini ditulis, belum ada pengesahan rasmi daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia mengenai dakwaan tersebut. – UTUSAN










