Kawal kecerdasan buatan dengan nilai, akhlak

Kawal kecerdasan buatan dengan nilai, akhlak – Sultanah Nur Zahirah

SULTANAH Nur Zahirah menyampaikan titah ucapan sempena Majlis Konvokesyen UniSZA Ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dinasihatkan supaya tidak membiarkan diri mereka dikuasai kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menjejaskan nilai, adab dan akhlak dalam kehidupan.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Tunku Canselor UniSZA bertitah, dalam era moden yang sarat dengan ledakan teknologi, manusia perlu menjadi pihak yang mengawal dan memandu penggunaan AI supaya tidak tersasar daripada landasan kemanusiaan.

“Kita hidup dalam era teknologi kecerdasan buatan yang mendominasi sistem ekonomi, kesihatan dan pendidikan bahkan pentadbiran negara. Namun, apakah manusia mengawal teknologi dengan nilai, adab dan akhlak?” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-17 UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, di sini hari ini.

Baginda bertitah, graduan UniSZA perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi bukan sekadar untuk kemudahan dan kemajuan tetapi demi kemaslahatan manusia sejagat.

Sultanah Nur Zahirah turut menasihatkan graduan UniSZA yang menjadi sebahagian daripada Khairul Ummah supaya menjadikan AI sebagai alat yang dapat mengangkat martabat manusia.

“Justeru itu, integrasi ilmu naqli dan aqli yang menjadi teras universiti ini amat penting agar kemajuan teknologi tidak terungkai daripada akar ilmu, iman dan akhlak,” titah baginda.

Baginda turut menyeru graduan UniSZA menjadi generasi yang menggabungkan kecerdasan teknologi dengan kearifan nilai, menegakkan keadilan global dengan keberanian serta membina pembangunan sosial berlandaskan keutuhan adab.

Sementara itu, baginda menzahirkan tahniah kepada penerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan, Datuk Marina Chin @ Chin Leng Sim serta Profesor Emeritus dalam Bidang Pengurusan Risiko, Dr. Ahmad Shukri Yazid.

Majlis sama turut menyaksikan dua pelajar, Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan serta Koh Wen Xuan dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan menerima Anugerah Pelajaran Diraja. Pada majlis istiadat konvokesyen kali ini, seramai 4,215 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN