KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kaukus Parlimen berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) akan bersidang pada 27 November ini bagi meneliti pelbagai implikasi terhadap negara selepas perjanjian itu dimeterai pada 26 Oktober lalu.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan berkata, mesyuarat yang dijadualkan pada pukul 11 pagi itu bertujuan meningkatkan kesedaran serta kefahaman ahli-ahli Parlimen dan masyarakat mengenai perubahan landskap perdagangan global susulan dasar baharu AS.
Katanya, kaukus berkenaan turut berperanan menilai kesan langsung dan tidak langsung tarif timbal balas yang dikenakan AS ke atas Malaysia selain memantau perkembangan dasar perdagangan negara kuasa besar itu dari semasa ke semasa.
“Kaukus ini akan meneliti gangguan perdagangan global yang berpunca daripada perubahan dasar perdagangan AS termasuk tarif yang memberi kesan kepada eksport Malaysia.
“Ia juga akan mencadangkan langkah serta inisiatif sesuai bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara,” katanya.
Kaukus tersebut akan dipengerusikan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah dengan penyertaan daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang sebagai usaha memperkukuh pendekatan dwipartisan.
Sebelum ini, kaukus itu ditubuhkan pada 5 Mei lalu melalui Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi menyediakan platform libat urus serta memberi input kepada kerajaan dalam merangka strategi nasional yang lebih menyeluruh berhubung perdagangan Malaysia-AS. – UTUSAN










