Kastam perketat kawalan tangani penyeludupan dadah

Kastam perketat kawalan tangani penyeludupan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengambil beberapa tindakan bagi menyekat kelompongan pintu masuk negara dari dieksploitasi termasuk sindiket penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Australia.

Langkah tegas yang diambil sejak  2023 itu termasuk melaksanakan imbasan 100 peratus selain menaik taraf mesin pemeriksaan kepada sistem kecerdasan buatan (AI) serta mewajibkan pradeklarasi susulan dua kes penyeludupan dadah besar membabitkan Port Klang pada tahun itu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, kenyataan Perdana Menteri semalam adalah merujuk kepada insiden yang berlaku dua tahun lalu ketika beliau masih bertugas di Kementerian Kewangan.

“Dua kes berprofil tinggi di Australia dengan rampasan 376 kilogram heroin pada 13 Mac 2023 serta 662 kilogram syabu pada 4 Oktober 2023 oleh Australian Border Force (ABF) menjadi pencetus kepada rombakan besar-besaran dalam kawalan pintu masuk negara.

“Saya baru lapor diri hujung September 2023. Bila dua kes itu berlaku, keputusan berani yang kita ambil adalah melaksanakan imbasan 100 peratus bagi semua import dan eksport bermula 15 November 2023,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah ke negara ini yang sudah didengarina sejak 20 tahun lalu namun tiada tindakan diambil.

Anis berkata, berdasarkan semakan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO),  Malaysia merupakan satu-satunya negara buat imbasan eksport penuh malah New Zealand, Australia dan Singapura juga tidak melakukannya..

“Ada yang panggil saya gila kerana nak buat imbasan penuh. Tapi saya tegas… keselamatan negara lebih penting. JKDM turut menaik taraf mesin pengimbas kepada sistem AI Dual View Dual Energy bagi meningkatkan ketepatan semakan dan melancarkan pelepasan kontena,” jelasnya.

Katanya, beberapa pembaharuan lain turut diperkenalkan, termasuk pradeklarasi (Borang Kastam 2) yang diwajibkan sebelum imbasan.

“Pusingan kerja pegawai di mesin pengimbas bagi memenuhi arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Penggunaan sistem Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE) dari 2023, kini dinaik taraf kepada Sistem Dokumen Import/Eksport Kastam Malaysia bermula tahun ini dengan keupayaan audit dan integrasi,”ujarnya.

Kata Anis, langkah itu memberi kesan ketara kepada hasil negara di mana daripada 2023 ke 2024, hasil meningkat RM10.4 bilion.

“Pada 2024 kita kutip RM65.57 bilion. Bagi Januari–Oktober 2025, kita kutip RM62.47 bilion, naik RM8.84 bilion atau 16.48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Menurut Anis, imbasan barang  hanya dibuat ke atas barang yang berada dalam Kawasan Utama Kastam. 

“Bidang kuasa kastam di perairan terhad kepada 12 batu nautika. Melepasi kawasan terbabit adalah bidang kuasa agensi lain seperti polis dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya.

Ujarnya, JKDM kini dalam proses memperoleh mesin pengimbas baharu iaitu empat unit  di Pelabuhan Klang, dua unit di Pulau Pinang dan satu di Johor.

Katanya, barisan hadapan turut dihantar mengikuti kursus Neuro-Linguistic Programming (NLP) bagi mengenal pasti gerak-geri mencurigakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN