ALOR SETAR: Suasana Kampung Tengah, Mukim Padang Hang di sini yang biasanya tenang dan mendamaikan berubah gamat apabila lebih 500 peserta menyertai pertandingan serkap ikan di sawah padi kampung itu, Sabtu lalu.
Lebih menarik, peserta disyaratkan membawa serkap ikan tradisional yang dihasilkan menggunakan buluh sahaja bagi menggamit nostalgia tradisi masyarakat setempat, menangkap ikan selepas musim menuai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu merupakan permulaan kepada usaha untuk memperkenalkannya sebagai salah satu produk pelancongan Kedah.
“Kami yakin acara ini mampu menjadi prospek pelancongan Kedah melalui sektor pelancongan berasaskan komuniti (CBT). Buktinya, kita dapat penyertaan melebihi 500 peserta walaupun baharu dibuka empat hari lalu.
“Peserta pula bukan sahaja dari seluruh Kedah, malah ada yang dari Perlis dan Pulau Pinang. Sebenarnya, ramai lagi yang mahu turut serta, namun kita terpaksa hadkan penyertaan untuk tahun ini disebabkan beberapa kekangan.
“Kita turut adakan acara lain seperti bermain bola sepak bendang untuk kanak-kanak dan dewasa. Untuk tahun ini, kita sediakan kawasan seluas lapan relung (tiga hektar) untuk acara-acara terlibat,” katanya.
Tambah Mohd. Salleh, sektor CBT di Kedah semakin berkembang melibatkan beberapa buah kampung antaranya di Kampung Matang Kenanga, Jerlun yang sentiasa dikunjungi pelancong dan pelajar dari dalam serta luar negara melakukan aktiviti di sawah padi.
“Mereka juga berpeluang untuk menikmati hidangan tradisi yang disediakan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN










