‘Kami masih terasa kehilangan Nurit’

‘Kami masih terasa kehilangan Nurit’

NUR Ardini Rryna menunjukkan gambar Koperal Nurit Pandak yang maut dalam kemalangan trak FRU dan sebuah lori di Teluk Intan pada Mei lalu. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: “Keluarga kami berpuas hati mengenai laporan kemalangan yang membuktikan kemalangan tersebut bukan salah anggota FRU.

“Untuk tindakan selanjut­nya, kami serah kepada pihak berkuasa dan perundangan.”

Itu reaksi adik kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh, mendiang Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam kemalangan trak dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampan di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Nur Ardini Rryna, 32, berkata, muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil dilaporkan menjadi punca kepada kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota FRU termasuk mendiang abangnya membuktikan kemalangan disebabkan kecuaian orang lain.

Katanya, dia dan ahli keluarga berpuas hati dengan laporan kemalangan tersebut dan menye­rahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Apa-apa tindakan selanjutnya, kami serah kepada pihak berkuasa. Kami berharap perkara ini tidak berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, kehilangan abangnya masih dirasai sehingga hari ini.

Katanya, mereka masih bersedih kerana hubungan mereka adik-beradik sangat rapat.

“Kehilangan orang tersa­yang secara tiba-tiba susah nak terima. Kami sekeluarga masih masih terasa kehilangan mendiang.

“Dia abang yang sangat bertanggungjawab, baik dan sa­yangkan keluarga. Sudah tentu susah untuk kami melupakannya,” katanya.

Nurit antara sembilan anggota FRU yang maut dalam kemalangan melibatkan trak FRU dengan lori muatan batu di Chikus- Sungai Lampam itu. lalu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan berkata, punca kejadian itu diperoleh menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden itu yang telah disiapkan.

Hasil siasatan dapati punca utama kemalangan adalah akibat muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil iaitu melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN