'Kalau betul hero, di mana kamu waktu berkuasa dulu?'

‘Kalau betul hero, di mana kamu waktu berkuasa dulu?’

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak segelintir bekas pemimpin yang tiba-tiba muncul sebagai hero menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sedangkan ketika berkuasa dahulu mereka gagal menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

Anwar berkata, menuding jari kepada kerajaan hari ini kononnya tidak memperjuangkan hak rakyat dan negeri hanya memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab mereka serta cuba menangguk di air keruh menjelang pilihan raya.

“Kita kena nilai dengan cerdik dan pintar, kalau tidak kita jadi mangsa. Tambahan pula ini musim PRN Sabah, waktu untuk bertempur, semua jadi hero-hero belaka.

“Kalau betul hero, di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi menteri dan penguasa? Mengapa hal-hal yang kamu sebut sekarang tidak dilaksanakan ketika itu?” katanya ketika berucap pada Program Rancakkan Madani Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Anwar berkata, perjuangan sebenar bukan sekadar menimbulkan sentimen kaum atau agama, sebaliknya menuntut nilai kepemimpinan berasaskan amanah, akhlak dan tanggungjawab.

“Sekarang ada pula yang tiba-tiba melaungkan ‘hak rakyat, hak negeri’. Masa ada kuasa, ke mana hak itu?,” soalnya.

Tambah Perdana Menteri, kekayaan dan hasil negara tidak sepatutnya berlegar hanya dalam kalangan segelintir elit, sebaliknya mesti dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Katanya, kerajaan Persekutuan komited membangunkan Sabah tanpa mengira perbezaan politik dengan menyalurkan peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negara.

“Dalam Belanjawan 2026, Sabah menerima RM6.9 bilion, satu peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negara, termasuk pemberian khas interim RM600 juta seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Anwar turut menyeru rakyat Sabah menilai keikhlasan dan rekod pemimpin berdasarkan tindakan dan pencapaian sebenar, bukan sekadar janji manis ketika musim pilihan raya.

“Tugas kita ialah menilai dengan bijak dan jangan tertipu dengan slogan. Lihat siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan yang hanya muncul ketika pilihan raya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN