KOTA KINABALU: Adik kepada seorang pelajar senior yang dikenali Kak M mengesahkan bahawa kakaknya itu pernah mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan kepada Zara Qairina Mahathir pada sekitar pukul 10 malam, penghujung April lalu.
Bagaimana saksi kanak-kanak ke-31 itu memberitahu, walaupun pelajar Tingkatan Satu itu kelihatan takut dengan ugutan berkenaan namun tiada sebarang sentuhan berlaku terhadapnya.
Dia memberitahu, Zara Qairina yang tinggal di Blok Blok A, Rabiatul Adawiyah pergi berjumpa dengannya di Blok B, Sumayyah untuk meminta maaf sebelum insiden berlaku.
“Saksi berkata tujuan Zara datang adalah untuk meminta maaf mengenai sepucuk surat mengandungi kata-kata body shaming (memperlekeh badan) terhadap kawannya. Kata-kata ‘sok-sok orku’ bermaksud menyindir seseorang yang perasan kuat.
“Walaupun Zara Qairina meminta maaf tetapi saksi tersebut memberitahu dia tidak pasti sama ada Zara Qairina yang menulis surat tersebut tetapi yakin surat itu turut ditulis oleh seorang lagi pelajar junior.
“Ketika kejadian (Zara Qairina minta maaf), ada pelajar senior Tingkatan Empat melewati dorm tersebut dan bertanya apa berlaku. Saksi menerangkan tentang surat tersebut dan tujuan Zara Qairina meminta maaf.
“Seorang pelajar senior berteriak memanggil pelajar junior lain dikaitkan dengan surat tersebut. Senior itu kemudian menasihati Zara Qairina dan seorang lagi pelajar agar tidak mengulangi perbuatan itu,” kata kenyataan media dikeluarkan pasukan peguam bela mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Zara Qairina semalam.
Saksi memberitahu, tidak lama selepas itu, Kak M kebetulan melalui kawasan itu dan bertanyakan apa sedang berlaku.
“Setelah dimaklumkan, Kak M mengeluarkan kenyataan kepada Zara Qairina ‘Kau ini ah, kalau aku touch (sentuh) habis kau’. Para pelajar senior lain membawanya tersebut keluar untuk ditenangkan. Pada ketika itu, saksi nampak Zara Qairina kelihatan takut tetapi tidak menangis.
“Saksi berkata ayat tersebut cuma gertakan dan kakaknya tidak ada menyentuh mana-mana pelajar junior. Menurut saksi, maksud touch-touch ini adalah seperti dia macam pukul orang,” kata kenyataan tersebut.
Saksi berkata, selepas kejadian itu, dia bertembung dengan Zara Qairina dan remaja terbabit hanya tersenyum kepadanya.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, Noraidah mengenai Kak M yang pernah mengeluarkan perkataan ‘kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ini’ kepada remaja terbabit dan rakannya.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina memasuki hari ke-34 bersambung 10 November ini.










