KUALA LUMPUR: Kadar kelulusan keseluruhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2025 di Wilayah Persekutuan mencatat 96.02 peratus.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kamaldin Mohd. Damin berkata, secara keseluruhan, Gred Purata Skor (GPS) UPSRA 2025 adalah 1.86 peratus manakala peratus kelulusan meningkat 1.36 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, seramai 812 orang calon memperoleh 9 Mumtaz (cemerlang) bersamaan 8.71 peratus daripada jumlah calon.
Seramai 9,410 calon daripada 215 institusi berdaftar, dengan 9,327 hadir. Projek Berasaskan Sekolah (PBS) mencatat kelulusan tertinggi 100 peratus, diikuti Al-Quran & Hafazan 99.97 peratus dan Tajwid 98.15 peratus.
“Harapan kami, semoga pelajar selepas ini dapat mencontohi dan meneruskan legasi kejayaan ini pada masa yang akan datang.
“Pihak Jawi juga akan juga berusaha untuk mengembangkan dan memperluaskan bidang pendidikan dan pastikan keselesaan yang terbaik buat pelajar dan guru-guru,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan UPSRA di Dewan Syarahan, Masjid Negara hari ini.
Sementara itu, murid terbaik keseluruhan lelaki dari SIRAJ Abdullah Ibnu Mas‘ud, Muhammad Muadz Mohd. Fathullah,12, gembira dan teruja selepas menerima anugerah itu.
“Alhamdulillah, saya rasa gembira dan bersyukur kerana ini penghargaan besar, hasil daripada sokongan ibu bapa dan guru-guru saya.
“Kunci kejayaan adalah disiplin, pengurusan masa dan menghormati guru. Sasaran saya selepas ini adalah untuk melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh atau sekolah agama untuk menghafaz Al-Quran,” katanya. – UTUSAN











