PUTRAJAYA: Penjualan rokok haram didapati menguasai lebih 54.5 peratus dalam pasaran di negara ini atau bersamaan dengan 697 juta batang rokok haram dijual.
Dapatan itu diperoleh berdasarkan laporan Pasaran Rokok Haram di Malaysia (ICS) pada Mei 2025, dikeluarkan syarikat penyelidikan Nielsen.
Menerusi laporan itu, purata jualan rokok haram kekal lebih tinggi berbanding rokok sah sejak tahun 2020 hingga 2024. Sebagai contoh, pada 2020 sahaja, sebanyak 11.7 bilion batang rokok haram dijual, hampir dua kali ganda daripada 6.7 bilion batang rokok sah.
Terdapat 10 jenama utama dikesan menguasai lebih 40 peratus jumlah keseluruhan rokok haram dijual di Malaysia. Sehingga Mei lalu, jenama John mencatatkan penguasaan tertinggi iaitu 12.5 peratus, diikuti Era (7.8 peratus) dan Canyon (3.9 peratus).
Turut tersenarai Bosston (3.4 peratus), Concept (3.2 peratus), Misto (2.6 peratus), Gudang Garam (2.6 peratus), LA (2.5 peratus), U2 (1.9 peratus) dan Parkway (1.2 peratus).
Antara paling banyak dikesan bersetem cukai palsu ialah Bosston (3.4 peratus), Concept (3.2 peratus) dan Misto (2.6 peratus), diikuti Promax, Pragon, Galaxy, A380, 9th Century, Manchester dan 6th Sense.
Sebanyak 71 peratus rokok haram di negara ini tidak mempunyai sebarang setem cukai, manakala 29 peratus lagi menggunakan setem cukai palsu, sekali gus menuntut penguatkuasaan lebih agresif.
Negeri dengan kadar tertinggi pasaran rokok haram adalah Pahang yang merekodkan 77.8 peratus, diikuti Sabah (77.2 peratus) dan Sarawak (78.3 peratus), sekali gus menjadikan tiga negeri ini antara kawasan paling kritikal dibanjiri rokok haram.
Turut mencatat angka membimbangkan ialah Terengganu (71.7 peratus) dan Labuan (68.4 peratus), manakala beberapa negeri lain termasuk Melaka (61.9 peratus), Kelantan (61.4
peratus) serta Kedah (54.9 peratus) juga menunjukkan kadar lebih separuh pasaran dikuasai produk haram.
Bagi kawasan Lembah Klang, Selangor merekodkan 43.8 peratus, manakala Kuala Lumpur 39.6 peratus. Putrajaya pula mencatatkan 35.6 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Ekonomi, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ketirisan hasil cukai tembakau akibat penyeludupan rokok dilihat semakin serius dan berpotensi menggugat ketahanan fiskal negara.
Menurutnya, perbezaan harga yang ketara antara rokok sah dan rokok seludup menjadi pemangkin utama kepada perkembangan pasaran gelap, terutama dalam kalangan perokok berpendapatan rendah.
“Bila cukai rokok dinaikkan dengan ketara, pengguna beralih kepada produk tidak sah kerana harganya jauh lebih murah.
“Keadaan ini menyebabkan dasar ‘cukai dosa’ tidak mencapai matlamat dan kerajaan kehilangan hasil dalam jumlah yang besar,” katanya.
Langkah menaikkan cukai rokok sebanyak 40 peratus pada tahun 2015 mencetuskan lonjakan mendadak terhadap permintaan rokok seludup apabila harga rokok sah meningkat kepada sekitar RM20 sekotak, berbanding rokok seludup yang dijual serendah RM6 hingga RM8.
“Dalam tempoh 10 tahun, kerajaan dianggarkan boleh kehilangan hasil cukai mencecah puluhan bilion ringgit akibat penyeludupan rokok yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara tetapi turut mengancam daya tahan fiskal dalam jangka panjang,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu menilai semula struktur cukai rokok secara menyeluruh agar dasar percukaian lebih seimbang dan tidak membuka ruang kepada pasaran gelap.
Cukai tinggi seharusnya menjadi alat kawalan tabiat merokok, bukannya faktor yang menggalakkan penyeludupan. Jika masalah ini tidak ditangani dengan pendekatan strategik, kerajaan akan terus kehilangan hasil, perokok tidak berhenti, dan sindiket kekal mengaut keuntungan besar,” katanya.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kebocoran hasil cukai antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun turut melemahkan keupayaan negara membiayai perbelanjaan awam penting seperti pendidikan, infrastruktur dan kesihatan.
Katanya, penguatkuasaan perlu diperhebat dengan memperkukuh kerjasama rentas agensi penguat kuasa selain meningkatkan kecekapan pemantauan di sempadan.
“Bila hasil negara berkurangan, kerajaan tiada pilihan selain meningkatkan cukai lain, memotong perbelanjaan atau menambah defisit fiskal yang akan beri kesan kepada rantaian kedudukan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Struktur cukai juga wajar dinilai semula memastikan dasar cukai tidak mendorong pengguna beralih ke pasaran gelap. – UTUSAN










