JKDM Sarawak gagalkan penyeludupan 103.46kg syabu dari KLIA ke Bintulu

JKDM Sarawak gagalkan penyeludupan 103.46kg syabu dari KLIA ke Bintulu

Norizan bersama-sama pegawai-pegawai JKDM Sarawak menunjukkan bungkusan mengandungi syabu yang dirampas pada sidang media di pejabat JKDM Bintulu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Taktik sindiket menyeludup 103.46 kilogram syabu (Methamphetamine) ke sini dengan menyembunyikannya di dalam bagasi penumpang terbongkar apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bintulu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata dadah bernilai lebih RM3.3 juta yang diseludup keluar menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dikesan di Unit Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Bintulu kira-kira pukul 8 malam, 5 November lalu.

Menjelas lanjut, beliau berkata ia selepas Pasukan Kastam Cawangan Operasi Penguatkuasaan dengan dibantu oleh Pegawai Kastam di Lapangan Terbang Bintulu menjalankan pemeriksaan terhadap empat bagasi penumpang yang menunjukkan imej imbasan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan telah menemui 100 bungkusan plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal yang disyaki sebagai dadah jenis Syabu,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Bintulu, hari ini.

Menjelas lanjut, Norizan berkata dua lelaki warga tempatan yang membawa bagasi tersebut turut ditahan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan sekiranya hukuman diberikan oleh mahkamah adalah penjara seumur hidup, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang daripada 15 sebatan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN