FRASA itu bukan Poklip cakap, tetapi ada seorang legenda pernah berkata demikian sebagai nasihat kepada pendatang baharu. Jangan mudah lena diulit populariti sementara, jangan buta dengan harta yang belum tentu bertahan lama.
Benar, bila baru-baru ini tular seorang penyanyi meluahkan rasa tidak puas hati kerana dibayar murah untuk menyanyikan dua buah lagu, Poklip pada awalnya merasakan warganet akan memberi sokongan terhadapnya.
Iyalah, bukan sekali dua kita mendengar luahan bayaran tidak setimpal kerja, banyak kali tau. Jadi Poklip agak, penyanyi itu akan menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminatnya.
Namun sangkaan Poklip meleret ke longkang dalam. Ramai yang mengecam dan ada pula yang suruh artis tersebut cermin diri. Tak baik tau. Walaupun ada yang mendakwa tidak kenal dengan penyanyi itu, tetapi janganlah cakap begitu.
Lagu si polan itu mungkin tidak sebanyak penyanyi popular lain, tetapi dia ada juga satu atau dua lagu yang menjadi. Pernah juga rasanya lagu dia ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik, jadi ada kredibiliti di situ.
Cuma apa salah dia sampai dikecam sebegitu? Adakah dia sudah lama menghilang dari industri seni atau ada cerita di balik tirai tentang perangainya yang tidak disukai warganet, Poklip tidak tahu.
Sebelum ini dia pernah meluahkan rasa terkilan dengan industri seni dan mahu fokus dengan perniagaannya, mungkin itu lebih baik. Poklip tidak tahu, sebab sudah lama rasanya tidak mendengar khabar dia.
Tetapi berbalik kepada bayaran tidak setimpal (tanpa mengambil kira luahan penyanyi itu), perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ramai sahaja artis legenda kita berdepan isu tersebut.
Norlia Ghani, Jalil Hamid, Seniwati Rosnani dan ramai lagi pernah meluahkan isu sama. Namun entah apa masalah segelintir pemain industri, tetap ada yang berperangai sebegitu. Tidak bijak menilai hasil kerja dan komitmen.
Memang mereka memerlukan wang tetapi jangan dipijak maruah mereka. Mereka datang kerja, bukan goyang kaki, dapat duit dan balik rumah. Bayarlah mengikut komitmen. Jangan main sebut harga sahaja.
Jangan sebab usia emas mereka, layanan sebegitu diberikan. Dan Poklip sangat respek dengan beberapa pelakon pelapis yang berani bersuara terhadap isu sebegini. Mungkin sebab mereka tahu, mereka akan tua.
Jadi jika tidak dibetulkan sekarang, satu hari nanti mereka akan berdepan situasi sebegini. Tetapi itupun kalau berjaya dan bergelar legenda lah. Kalau setakat berlakon satu dua drama, selepas itu menghilang, jangan harap dapat bayaran tinggi.
Kadang-kadang betul juga cakap netizen (secara umum ya), memang kita kena cermin dan sedar diri. Kita siapa sahaja dalam industri seni? Selain refleksi tentang adab dan sikap kita juga.
Tidak kira penyanyi, pelakon dan pengacara, kena tahu apa yang anda boleh berikan. Jangan minta bayaran kelas A tetapi datang dengan sikap, penampilan dan bakat kelas C. Memang minta dikecam lah.
Tak kisahlah hadir dengan sepersalinan atas bawah barangan berjenama mewah sekalipun, namun yang penting adab. Jangan rasa diri itu hebat, sebab apa? Sebab ramai lagi yang lebih hebat. Ini Poklip cakap.










