Isu 80 murid tidak berdaftar UPKK selesai, dibenar ambil peperiksaan

Isu 80 murid tidak berdaftar UPKK selesai, dibenar ambil peperiksaan

MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu pendaftaran 80 murid Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Afsari, Saujana Putra, Puchong bagi menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 akhirnya selesai selepas semua murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan seperti calon lain di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Exco Agama Islam serta Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah hari ini.

Menurut kenyataan itu, penyelesaian dicapai hasil beberapa sesi semakan dan perbincangan yang diadakan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama pihak sekolah bagi memastikan penyelesaian menyeluruh tanpa menjejaskan hak pelajar.

“Hasil perbincangan bersama, JAIS bersetuju memberikan kebenaran khas kepada semua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025 dengan beberapa penyelarasan termasuk pendaftaran rasmi calon melalui Sistem Pendaftaran Calon UPKK oleh JAIS.

“Semua murid akan menduduki peperiksaan di pusat peperiksaan berdaftar (sekolah tumpang), manakala peperiksaan lisan bagi tiga mata pelajaran yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diatur semula selepas peperiksaan bertulis,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu berkata, Jakim dan JAIS akan terus memantau pelaksanaan peperiksaan agar berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Penyelesaian tersebut dicapai hasil arahan Mohd. Na’im yang menggesa Jakim dan JAIS bekerjasama dengan mengambil kira kepentingan pelajar, ibu bapa dan masa depan pendidikan Islam mereka.

Pada masa sama, pihak sekolah turut memberikan komitmen untuk melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988 dengan bimbingan JAIS.

“Kerajaan menghargai kesabaran dan kerjasama ibu bapa serta pihak sekolah sepanjang proses ini berlangsung,” kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa mana-mana sekolah atau institusi pendidikan Islam yang beroperasi tanpa pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri akan berdepan tindakan tegas.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek pematuhan peraturan dan keselamatan murid kerana ia melibatkan kredibiliti sistem pendidikan Islam serta integriti umat Islam.

“Diharapkan semua pihak menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh pematuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam pada masa hadapan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memperkukuh ekosistem Pendidikan Islam MADANI, berteraskan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus berintegriti demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Jakim mengesahkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari tidak didaftarkan untuk menduduki UPKK 2025, selain sekolah berkenaan dilaporkan beroperasi tanpa pendaftaran serta kebenaran sah daripada pihak berkuasa agama negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN