Isteri strok, anggota polis mohon bantuan

Isteri strok, anggota polis mohon bantuan

BOLIA Buang (kanan) kini mengambil alih tugas menguruskan anak-anaknya selepas isterinya terlantar sakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehidupan Bolia Buang, 45, kini berubah selepas isterinya, Nur Zuliani Mohd. Ariffin, 42, disahkan diserang strok, menjadikannya dia kini memikul tanggungjawab berat mengurus keluarga sambil menjalankan tugas sebagai anggota polis.

Bolia, yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, berkata, musibah itu berlaku secara tiba-tiba selepas sekeluarga mengadakan perkhemahan pada 3 Ogos lalu.

“Keesokan harinya, saya mendapati isteri terbaring di bilik air, matanya terbuka tanpa sebarang reaksi. Saya segera menghubungi ambulans dan dia disahkan strok,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sejak kejadian itu, rutin harian keluarga ini menjadi tidak menentu apabila Bolia terpaksa mengambil cuti panjang untuk menjaga isterinya sambil memastikan tiga anak mereka yang masih bersekolah terus menerima perhatian sewajarnya.

Kata Bolia, anak sulung yang baru memulakan sesi Tingkatan Enam paling terkesan, sering bertanya mengenai keadaan ibu dan kelihatan sedih dengan musibah yang menimpa keluarga mereka.

“Anak-anak yang lain masih kecil mungkin tidak sepenuhnya memahami situasi ini. Namun abang sulung, jelas dia sedih. Dia selalu bertanya ibu sakit apa dan bolehkah pulih,” katanya.

Bolia yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, kos bulanan untuk penjagaan isterinya kini mencecah hampir RM3,000, termasuk untuk susu, lampin dan ubat-ubatan.

“Saya juga perlu memberi sepenuh perhatian kepada Nur Zuliani, dengan membantu memberi makan, menukar pakaian dan berkomunikasi melalui telefon kerana isteri masih tidak boleh bercakap dan kadangkala kelihatan keliru dan sering menangis.

“Kadang-kadang kami hanya meneka apa yang ingin disampaikan. Kami lakukan yang terbaik supaya dia tidak menangis lagi,” katanya.

Walaupun terpaksa mengimbangi tugas sebagai anggota polis dan tanggungjawab keluarga, Bolia tetap berharap isterinya pulih sepenuhnya dan dapat kembali bercakap serta bergerak seperti dahulu.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1642-8555-7158 (Bolia Bin Buang) atau menghubungi beliau di talian 016-777 4899.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN