KUALA LUMPUR: Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah dijangka menyumbang RM24.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan negara serta mewujudkan 5,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Program strategik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dengan kerjasama Wilayah Persekutuan serta kerajaan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka itu disasarkan untuk menarik pelaburan bernilai RM12.5 bilion setiap tahun.
Inisiatif tersebut dilihat bakal memperkukuh kedudukan Wilayah Tengah sebagai hab utama industri berimpak tinggi negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal serta pembuatan makanan, di samping memperkasa perusahaan tempatan agar mampu bersaing di peringkat global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Wilayah Tengah mempunyai asas kukuh dengan rangkaian pembekal, logistik, makmal ujian, institusi pengajian tinggi dan rakan inovasi yang sedia ada.
Katanya, usaha kini difokuskan kepada penyambungan aset-aset tersebut, menutup jurang utama dan memastikan sokongan kerajaan memberi hasil yang jelas termasuk peningkatan vendor berkualiti, pelaburan lebih pantas, penggunaan teknologi lebih meluas serta penjajaran bakat dengan keperluan industri.
“Pembangunan kluster yang berdaya saing dilihat sebagai satu ekosistem lengkap yang menghubungkan syarikat utama, pembekal, logistik, latihan dan penyelidikan.
“Melalui pemetaan ekosistem ini, kerajaan dapat mengenal pasti jurang dalam rantaian bekalan, tenaga kerja, infrastruktur dan kapasiti inovasi sekaligus mengambil langkah berfokus untuk memperkukuhnya,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Seminar Pelaburan Flagship: Inisiatif pembangunan kluster industri di Wilayah Tengah hari ini.
Jelasnya, tumpuan awal akan diberikan kepada tiga sektor utama iaitu elektrikal dan elektronik (E&E), sebagai tulang belakang industri dan pintu masuk kepada pembuatan berteknologi tinggi.
“Selain itu, farmaseutikal dan produk perubatan sektor yang terbukti penting bagi keselamatan ekonomi dan kesihatan negara.
“Pembuatan makanan dan ekonomi halal, teknologi moden dan piawaian antarabangsa, Wilayah Tengah disasar menjadi peneraju dalam pengeluaran makanan halal dan produk berorientasikan eksport,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Koridor Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)–Subang–Serendah turut dijadikan contoh model kluster bersepadu, dengan setiap kawasan memainkan peranan khusus KLIA sebagai hab penyelenggaraan dan baik pulih (MRO), Subang sebagai pusat pembuatan dan latihan aeroangkasa, manakala Serendah menumpukan kepada pembuatan komponen berketepatan tinggi.
“Gabungan ini dijangka dapat mengurangkan masa pengeluaran, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing industri tempatan.
“Selain itu, pemacu bersama seperti kejuruteraan ketepatan, automasi, metrologi dan sains bahan dalam sektor aeroangkasa dijangka turut menyokong peningkatan produktiviti di sektor lain,” katanya.
Wilayah Tengah juga menjadi lokasi utama penyelarasan tiga rangka kerja dasar negara iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030), Garis Panduan Kelestarian Industri (GIS), dan Strategi Sektor Negara (NSS).
Melalui sinergi ini, syarikat berpotensi mengembangkan operasi, mengautomasikan proses, menaik taraf kemahiran tenaga kerja serta memperkukuh kelestarian tenaga dalam satu ekosistem yang terurus dan efisien.
Turut diadakan, Pertukaran memorandum persefahaman antara MIDA dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menunjukkan komitmen terhadap pembangunan infrastruktur yang melangkaui sekadar kenyataan dasar. – UTUSAN










