KUALA LUMPUR: Ratusan penduduk Bukit Damansara sekali lagi membantah cadangan pembangunan bercampur setinggi 60 tingkat di Jalan Semantan.
Pembangunan itu menurut mereka bakal memburukkan kesesakan sedia ada serta memberi tekanan kepada infrastruktur kawasan itu.
Bekas Menteri Kesihatan dan penduduk Bukit Damansara, Khairy Jamaluddin berkata, bantahan mereka hanya terhadap projek yang tidak mengambil kira kapasiti infrastruktur, terutama laluan utama seperti Jalan Semantan yang menjadi penghubung penting antara Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
“Kami, penduduk Bukit Damansara, tidak menolak pembangunan secara keseluruhan kerana banyak projek telah dilaksanakan dengan baik.
“Namun, sebelum ini kami pernah menolak projek Pavilion kerana bimbang infrastruktur dan jalan sedia ada tidak mampu menampung kesesakan yang timbul daripada pembangunan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada akhbar selepas majlis sesi libat urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai bantahan pembangunan bercampur bertingkat ini diadakan di Pusat Komuniti Bukit Damansara, di sini semalam.
Beliau menyatakan cadangan pembangunan semula di tapak Wisma Damansara dengan nisbah plot 1:9.6 terlalu padat dan dibimbangi akan memburukkan lagi kesesakan trafik sedia ada.
“Sebarang pembangunan baharu perlu mengambil kira kesesuaian kawasan, kapasiti laluan, dan kepentingan penduduk sedia ada bagi memastikan pembangunan itu mampan dan tidak menjejaskan kualiti hidup komuniti,” katanya
Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Setiakasih Kuala Lumpur (Perkasih), Zuhairah Ali berkata, masalah kesesakan di kawasan Setiakaseh sudah lama membebankan penduduk, walaupun terdapat kemudahan pengangkutan awam seperti transit aliran massa (MRT).
Katanya, penduduk Setiakaseh mahukan perancangan pembangunan yang seimbang, di mana kawasan kediaman kekal sebagai kawasan perumahan dan pembangunan baharu hanya berlaku pada lokasi yang sesuai tanpa membebankan infrastruktur sedia ada.
“Insiden gangguan sementara perkhidmatan MRT baru-baru ini yang menyebabkan ribuan pengguna tersangkut jelas menunjukkan bahawa infrastruktur sedia ada tidak mampu menampung keperluan harian.
“Keadaan ini dijangka akan menjadi lebih kritikal jika pembangunan berketumpatan tinggi diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil DBKL pada sesi berkenaan memberi jaminan bahawa semua bantahan dan cadangan penduduk akan diteliti semula.
Menurutnya, pihak DBKL akan meneliti setiap cadangan secara terperinci bagi memastikan pelan pembangunan yang dicadangkan tidak menjejaskan penduduk.
“Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji semula pelan pembangunan tersebut bagi memastikan kesejahteraan penduduk Bukit Damansara terjamin,” katanya. -UTUSAN







