PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu pihaknya masih lagi dalam peringkat memproses permohonan daripada pemaju berhubung cadangan pelan susur atur untuk cadangan perdagangan di tiga lot tanah berkeluasan 7.98 ekar di Bukit Damansara.
DBKL berkata, pihaknya belum membuat keputusan muktamad berkaitan permohonan tersebut kerana ia hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
“DBKL ingin menegaskan setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
“DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berhubung cadangan pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara, di sini.
Pada Sabtu lalu, kira-kira 200 penduduk Bukit Damansara berhimpun di hadapan Wisma Damansara, di sini, bagi menolak cadangan pembangunan semula oleh BRDB Developments Sdn Bhd, sebuah projek melibatkan pembinaan dua menara setinggi 60 tingkat dengan nisbah plot 1:9.6.
DBKL berkata, cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Traffic Impact Assessment (TIA), Geoteknik, Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan lain-lain aspek teknikal berkaitan.
Selain itu, katanya, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi.
DBKL turut memaklumkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang diwartakan pada 28 Mei lalu, telah menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan dan pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu, pemberitahuan mendapatkan pandangan.-UTUSAN










