PETALING JAYA: Hutang luar negara setakat akhir suku ketiga (S3) tahun ini berjumlah RM1.4 trilion atau 69.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kementerian Kewangan berkata, jumlah tersebut disifatkan sebagai paras yang dinilai selamat dan tidak memudaratkan prospek ekonomi negara.
Katanya, risiko hutang luar negara Malaysia secara keseluruhan kekal terkawal disokong oleh profil tempoh matang dan mata wang yang baik.
“Berdasarkan Rangka Kerja Kemampanan Hutang Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), risiko hutang luar negara boleh memudaratkan jika disertai dengan saiz hutang jangka pendek yang besar, pendedahan yang tinggi terhadap pinjaman dalam mata wang asing serta defisit dalam akaun semasa imbangan pembayaran.
“Risiko ini tidak wujud dalam konteks Malaysia. Dari segi tempoh matang hutang, sebanyak 56.9 peratus hutang luar negara setakat akhir suku ketiga 2025 terdiri daripada hutang jangka sederhana dan panjang, justeru mengurangkan risiko pembiayaan semula,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) mengenai langkah konkrit yang diambil kerajaan bagi memastikan kemampuan negara menghadapi hutang luar berikutan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Ogos 2025 hanya berupaya menampung 4.8 bulan keperluan import dan 0.9 kali hutang luar jangka pendek.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menjelaskan, rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$123.8 bilion (RM521.6 bilion) sehingga 31 Oktober lalu, melebihi paras ambang kecukupan minimum antarabangsa sebanyak tiga bulan dan 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
Katanya, rizab antarabangsa juga kekal mencukupi pada 104 peratus mengikut metrik Penilaian Kecukupan Rizab (ARA) oleh IMF, yang mengambil kira pelbagai sudut kecukupan rizab secara lebih menyeluruh.
Kementerian berkata, hutang luar negara Kerajaan Persekutuan adalah kecil dan kekal rendah, merangkumi kurang tiga peratus daripada jumlah hutang luar negara dalam denominasi mata wang asing.
Sejumlah besar hutang luar negara Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit, yang terlindung daripada risiko ketidakpadanan mata wang.
“Bagi Malaysia, rizab antarabangsa bukan satu-satunya cara untuk memenuhi obligasi luaran, seperti pembayaran balik hutang luar negara.
“Antaranya, susulan liberalisasi dasar pertukaran asing secara berperingkat, syarikat korporat dan institusi kewangan Malaysia sudah membina pegangan aset luar negara bukan rizab yang besar, yang boleh digunakan untuk memenuhi komitmen kewangan dalam mata wang asing tanpa bergantung sepenuhnya kepada rizab antarabangsa,” katanya.
Dari sudut ketahanan luaran, Kementerian Kewangan berkata, Malaysia turut mempunyai pengumpulan aset luaran bukan rizab dalam mata wang asing yang besar, secara langsung menyokong Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Bersih (IIP) Malaysia yang kekal positif, berjumlah RM77.3 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK pada akhir suku ketiga 2025.
Justeru katanya, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai negara pemiutang bersih.
“Kemampuan negara untuk memenuhi keperluan luaran dan melunaskan hutang luar negara jangka pendek berada pada tahap yang kukuh.
“Rizab antarabangsa kasar boleh digunakan sepenuhnya dan memadai untuk menyokong mandat BNM dalam memastikan pasaran pertukaran asing berfungsi secara teratur.
“Syarikat korporat dan institusi kewangan Malaysia juga mempunyai kemampuan tersendiri melalui pegangan aset luar negara bukan rizab yang besar, yang boleh digunakan untuk memenuhi komitmen kewangan dalam mata wang asing,” katanya. – UTUSAN










