Hubungan tidak goyah, video Syed Saddiq tepis spekulasi orang ketiga - Utusan Malaysia

Hubungan tidak goyah, video Syed Saddiq tepis spekulasi orang ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminat pasangan sensasi, penyanyi Bella Astillah dan ahli politik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik nafas lega apabila spekulasi kononnya hubungan mereka dilanda badai gara-gara kehadiran orang ketiga ternyata tidak benar.

Seakan menyedari gosip yang tular di media sosial, Syed Saddiq memuat naik sebuah video di platform Thread memaparkan kemesraan Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 31, bersama keluarganya ketika meraikan ulang tahun kelahiran bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah.

“Tanpa skrip dan tidak disunting. Terima kasih Bella Astillah kerana merakam momen bahagia ini dan menjadikan segalanya mustahil,” tulis Ahli Parlimen Muar itu menerusi hantaran berkenaan.

Menerusi video berdurasi kurang seminit itu, Bella merakam gelagat mesra ibu kepada Syed Saddiq yang menyanyikan lagu ulang tahun buat suaminya di sebuah bilik hotel.

Turut kedengaran suara Bella meminta pasangan itu saling berpelukan sebelum mereka ketawa riang.

Hantaran tersebut sekali gus menepis khabar angin yang mendakwa hubungan dua figura itu retak ekoran kehadiran  individu dikenali sebagai ‘A’.

Lebih menarik, tangkap layar perbualan di Instagram yang tular menunjukkan Syed Saddiq memuji Bella sebagai Iron Lady, manakala penyanyi itu membalas dengan emoji hati seolah-olah isyarat jelas hubungan mereka masih utuh.

Terdahulu, media sosial kecoh selepas tersebar dakwaan kononnya ibu kepada Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, memuat naik gambar bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘A’ yang dikatakan bekerja dengan sebuah jenama pakaian terkenal.

Hantaran itu mencetuskan spekulasi bahawa keluarga ahli politik muda itu lebih merestui wanita berkenaan berbanding Bella, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat setia penyanyi tersebut.

Namun, video dikongsi Syed Saddiq nyata menenangkan hati peminat yang selama ini gusar dengan gosip berkenaan.

“Lega, lindungi BASS dalam apa jua cara,” tulis seorang peminat, merujuk kepada gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS).

“Nampaknya YB tahu isu yang sedang hangat. Satu video sahaja sudah cukup untuk menafikan segala khabar angin,” komen seorang lagi pengguna media sosial.

“Terima kasih YB kerana sentiasa melindungi Bella,” tambah seorang lagi peminat setia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN