Hidung Anna Jobling bengkak, merah - Utusan Malaysia

Hidung Anna Jobling bengkak, merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada istilah ambil kesempatan, tidak pula pernah merayu agar pengarah filem Indonesia, Baim Wong, memberi layanan istimewa buat pelakon jelita, Anna Jobling.

Walaupun selebriti itu memang berkawan baik dengan Baim, namun apabila sampai urusan kerja semuanya berlaku sangat profesional.

Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, mementingkan kualiti kerja. Oleh itu, dia akan memastikan setiap tawaran diterima bukanlah hadir dengan alasan ‘anak emas’, sebaliknya kerana kesungguhan yang ditunjukkan di set penggambaran.

Tegas Anna, dalam tempoh beberapa tahun ini, dia tidak hanya membintangi filem arahan Baim Wong, tapi juga bekerjasama dengan pengarah lain untuk filem Laut Tengah serta satu lagi filem yang belum boleh dikongsikan kepada umum di Indonesia.

“Menerusi filem Sukma, mungkin ada yang kata saya anak emas sebab dua kali kerja dengan Baim. Tapi mana-mana set yang saya masuk, semuanya profesional. Saya datang sana buat kerja, lepas itu baliklah ke Malaysia.

“Saya bukannya pergi dekat dia cakap ‘Abang Baim, tolong lah ambil Anna’. Saya tak pernah begitu. Dia yang tanya saya mahu atau tidak terlibat dengan watak kecil dalam cerita Sukma.

“Disebabkan saya suka bekerjasama dengan dia dan pasukannya menerusi filem Lembayung sebelum ini, jadi tiada masalah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai gaya kepengarahan Baim, Anna menjelaskan bahawa bapa kepada dua orang anak itu sangat teliti membuat persediaan sebelum penggambaran berlangsung. Malah, sebagai pelakon dari Malaysia, Baim akan memastikan dirinya diterima baik oleh semua orang.

“Setiap kali masuk set kita akan ada pengalaman berbeza. Set Baim, dia akan buat semua orang rasa selesa termasuklah menjelaskan perkara yang saya tak faham. Perkara itu penting sebab barulah kita tidak gementar untuk berlakon.

“Banyak pengalaman baru termasuklah belakang tabir di mana mereka bina set termasuklah rumah, pintu pagar, dan segala prop. Perkara itu sangat menarik,” katanya.

Tidak dinafikan, ramai yang mahu berada di tempat pemenang Outstanding Asian Star di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 itu. Bagi Anna, dia juga tidak mahu peluang menembusi pasaran Indonesia dipersiakan.

“Satu perkara yang saya jaga ialah disiplin. Bila diberikan kerja memang saya akan buat sangat profesional, paling penting tidak lewat masuk ke dalam set penggambaran.

“Lepas itu jangan sombong baik dengan kru, produksi, katering dan sentiasalah merendah diri. Kita semua mahu selesa di set penggambaran.

“Nak dapat peluang sebegini tidak mudah, jadi apabila kita diberikan kesempatan, buatlah yang terbaik,” ceritanya.

SELESA BERKARYA

Dalam pada itu, bercerita lanjut tentang watak Sari menerusi filem Sukma. Anna dilihat melakonkan beberapa adegan aksi seperti membiarkan rambutnya ditarik pelakon legenda Indonesia, Christine Hakim.

“Jika aksi itu saya boleh lakukan sendiri, saya lebih selesa untuk melakukannya sendiri. Tapi jika saya tidak selesa, Baim juga tidak akan memaksa.

“Di cerita ini saya tidak mempunyai pengalaman mistik. Cuma ada cedera sikit terutama di adegan kepada di cermin. Saya tersilap sedikit menyebabkan bingkai itu mengenai hidung membuatkan bengkak dan merah.

“Sebab itu ada satu masa saya pernah muat naik gambar tuam hidung dengan ais untuk surutkan bengkak. Tapi cedera ringan sahaja tapi itu pun sebab salah sendiri,” jelasnya ketawa.

Semakin dikenali menerusi naskhah seram, Anna terbuka sekiranya itu menjadi sebab dirinya semakin dihargai dan diingati peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN