KUALA LUMPUR: Purata hasil padi Selangor merosot 8.56 peratus tahun lalu, menjadikan 2024 antara musim paling mencabar bagi pesawah di negeri itu, termasuk di Tanjong Karang yang dikenal pasti sebagai kawasan paling terkesan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, purata hasil negeri itu menurun kepada 4.185 tan metrik sehektar berbanding 4.577 tan metrik sehektar pada 2023, susulan serangan perosak, penyakit tanaman serta gangguan cuaca ekstrem.
“Penurunan ini berlaku secara jelas di Tanjong Karang. Faktor terbesar adalah serangan Ulat Pengorek Batang, Bena Perang, penyakit Karah dan Hawar Daun Bakteria yang menyebabkan kehilangan hasil sehingga 80 peratus di beberapa kawasan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjung Karang) yang meminta beliau menyatakan apakah langkah Kementerian bagi menangani hasil sawah yang rendah, kebanjiran warga asing serta isu tanaman kontan di sawah padi.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, bagi Luar Musim 2024, kawasan Sawah Sempadan dan Sungai Burung merekodkan keluasan serangan melebihi 80 hektar, manakala Musim Utama 2023/2024 menyaksikan penyakit Karah serta BLB dikesan pada peringkat berbunga dengan impak besar kepada pengeluaran.
Selain itu, katanya, fenomena kemarau, ribut dan banjir semakin ekstrem mengakibatkan kerosakan fizikal pada tanaman, pokok tumbang sebelum menuai dan penurunan ketara hasil tuaian.
“Pengeluaran terganggu apabila ribut dan banjir merosakkan tanaman. Ini bukan isu kecil kerana ia melibatkan kerugian besar kepada pesawah,” tegasnya.
Menurut Mohamad, infrastruktur pengairan usang serta kebergantungan penuh kepada Sungai Bernam sebagai sumber air utama turut menimbulkan tekanan besar terhadap usaha menstabilkan pengeluaran padi.
Bagi menangani penurunan hasil, kementerian mempergiat aktiviti pengembangan di lapangan, meningkatkan pendedahan kepada pengurusan risiko penyakit dan iklim serta melaksanakan projek naik taraf sistem pengairan di beberapa kawasan terjejas.
“Kita sedang menaik taraf Kolam Takungan Parit 4 di Sungai Haji Dorani dan sistem pengairan di Peket 20, Panchang Bedena dan Sungai Nipah.
“Langkah ini penting untuk menjamin bekalan air dan kecekapan agihan kepada pesawah,” jelasnya.
Mengulas isu kebanjiran warga asing mengusahakan sawah dan tanaman kontan, beliau mengakui perkara itu berlaku apabila ada pemilik tanah menggajikan pekerja asing untuk kerja sawah termasuk menabur benih, membaja, meracun dan menuai.
“Kita tidak nafikan ada warga asing diupah oleh pemilik tanah. Namun, hal ehwal tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan penyewaan tanpa dokumentasi rasmi menyukarkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Mohamad berkata, isu itu memerlukan penyelesaian tadbir urus yang lebih menyeluruh dan kerjasama rentas kementerian serta negeri bagi memastikan kawal selia dapat diperkukuh. – UTUSAN










