PETALING JAYA: Harga minyak mentah dijangka terus menurun sekitar AS$60 (RM251.81) setong tahun depan, didorong oleh peningkatan bekalan dalam pasaran.
Pada pukul 5 petang semalam, harga minyak mentah WTI diniagakan pada AS$61.30 (RM256.49) setong, manakala Brent pula didagangkan pada AS$65.13 (RM272.52) setong.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, harga minyak mentah juga kemungkinan turun sehingga AS$52 (RM218.32) setong sekiranya pasaran global terus lemah.
“Dalam jangka pendek, pasaran minyak mentah kekal lemah, namun Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mungkin mengambil tindakan pada suku kedua dan ketiga tahun depan untuk menstabilkan semula harga.
“OPEC dijangka melaksanakan beberapa strategi untuk menstabilkan pasaran, termasuk mengurangkan bekalan bagi mengimbangi lebihan pengeluaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, langkah OPEC itu penting bagi memastikan harga tidak jatuh lebih rendah daripada kos pengeluaran, sekali gus melindungi pendapatan negara pengeluar minyak.
Sementara itu, MBSB Investment Bank Berhad dalam nota penyelidikan mengunjurkan harga minyak mentah Brent diniagakan dalam julat AS$60 (RM251.81) hingga AS$65 (RM272.80) setong pada 2026.
Bank pelaburan itu berkata, jangkaan tersebut mengambil kira keseimbangan antara peningkatan pengeluaran minyak oleh OPEC dan sekutunya (OPEC+).
Katanya, ia juga mengambil kira pertumbuhan permintaan global yang sederhana, selain impak sekatan ekonomi terhadap Rusia serta langkah strategik China meningkatkan simpanan minyaknya.
“Walaupun berlaku ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan, beberapa faktor dijangka menyokong harga minyak kekal melebihi AS$60, antaranya usaha China meningkatkan simpanan minyak mentah.
“Selain itu, ada kemungkinan pengurangan bekalan produk Rusia akibat sekatan baharu Amerika Syarikat (AS), sekatan baharu Kesatuan Eropah (EU) terhadap import produk berasaskan bahan mentah Rusia serta penutupan kapasiti penapisan baru-baru ini,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata, melihat ke hadapan, risiko penurunan dijangka berterusan pada 2026 akibat lebihan bekalan yang semakin meningkat dan mungkin sukar diserap sepenuhnya oleh permintaan.
Katanya, bekalan minyak dijangka meningkat lagi sebanyak 2.4 juta tong sehari pada 2026, dengan tambahan bekalan datang daripada pengeluar bukan OPEC dan OPEC+, masing-masing menambah 1.2 juta tong sehari.
“Pertumbuhan permintaan kekal sederhana. Dari sudut permintaan, pertumbuhan dijangka sederhana, dengan peningkatan hanya 0.7 juta tong sehari pada 2026.
“Pertumbuhan ekonomi di negara pengguna utama minyak seperti China dan India dijangka menurun pada tahun tersebut dengan kadar pertumbuhan China dijangka berkurang daripada 4.8 peratus pada 2025 kepada 4.2 peratus pada 2026, manakala India daripada 6.6 peratus kepada 6.2 peratus dalam tempoh sama.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pertumbuhan global 2026 sebanyak 3.1 peratus, iaitu turun satu mata peratusan berbanding unjuran tahun 2025,” ujarnya.
MBSB berkata, sejak April lalu OPEC+ telah menambah pengeluaran minyak mentah sebanyak 2.9 juta tong sehari, iaitu kira-kira 2.7 peratus daripada jumlah bekalan minyak dunia, dengan kenaikan tambahan sebanyak 137,000 tong sehari dijadualkan pada Disember ini.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu memutuskan untuk menangguhkan sebarang kenaikan baharu pada suku pertama 2026 bagi mengelak risiko lebihan bekalan dan menstabilkan pasaran global.
“Langkah OPEC+ itu dianggap sebagai strategi berhati-hati bagi melindungi harga minyak, memandangkan suku pertama lazimnya menjadi tempoh paling lemah bagi pasaran tenaga,” jelasnya. – UTUSAN










