PETALING JAYA: Biarpun dibenar melakukan pemeriksaan mengejut atau spot check terhadap beg sekolah, tetapi para guru berada dalam dilema kerana mereka sendiri tidak mengetahui secara jelas apa yang boleh dan tidak boleh dibawah ke sekolah oleh pelajar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengeluarkan satu garis panduan standard mengenainya.
Katanya, ketiadaan panduan rasmi menyebabkan pihak sekolah berada dalam dilema dan mengambil pendekatan sendiri menentukan barangan yang boleh atau tidak boleh dibawa oleh murid.
Katanya, perkara itu telah menimbulkan pertikaian antara pihak sekolah dan ibu bapa kerana tiada keseragaman dalam pelaksanaan peraturan.
“Apakah barangan yang tidak boleh dibawa? Ada sekolah melarang minyak wangi dan bedak, tetapi sekolah lain membenarkannya. Jadi tiada standard yang jelas.
“Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham antara guru dan ibu bapa kerana tindakan hanya berdasarkan pandangan pihak sekolah semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Fouzi turut mendedahkan, kini ramai murid membawa kipas mudah alih ke sekolah sehingga mengganggu tumpuan pembelajaran dalam kelas, namun guru-guru tidak pasti sama ada barangan itu tergolong sebagai larangan atau sebaliknya.

“Guru sukar membuat keputusan kerana tiada garis panduan jelas, sedangkan hal ini penting untuk memastikan keselamatan dan disiplin murid,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan apa ada dalam beg sekolah anak-anak, susulan beberapa kejadian jenayah membabitkan pelajar, termasuk kes kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat di Bandar Utama yang ditikam bertubi-tubi oleh pelajar lelaki menggunakan pisau dipercayai dibeli secara dalam talian.
Selain itu, pada 11 Oktober lalu, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga dan merakam perbuatan keji itu menggunakan telefon bimbit.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga sehinggakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyokong sekiranya pemeriksaan beg sekolah secara mengejut dan berkala dilaksanakan dengan lebih kerap bagi menjamin keselamatan murid-murid.
Bagaimanapun, Fouzi berkata, pemeriksaan beg sekolah atau spot-check tidak pernah dihalang oleh KPM untuk dilaksanakan pihak sekolah dan masih lagi dijalankan.
Namun, katanya, pemeriksaan mengejut itu tidak dibuat setiap hari kerana kekangan dan ia hanya dibuat secara rawak.
“Tapi pelaksanaan spot-check ini perlu dibuat dengan lebih rapi kerana banyak perkara timbul apabila barangan dibawa murid-murid dirampas oleh guru sehingga berlaku pertikaian dengan ibu bapa sebelum ini.
“Ini juga satu risiko kepada sekolah. Kita tidak ada klausa yang kata barangan rampasan itu hak sekolah. Jika berlaku kejadian tidak diingini terhadap barangan dirampas itu siapa yang perlu bertanggungjawab untuk membayarnya,” katanya melontar persoalan. – UTUSAN










