Graduan undang-undang antara empat didakwa curi kabel - Utusan Malaysia

Graduan undang-undang antara empat didakwa curi kabel

EMPAT lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang graduan undang-undang dan tiga rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM), Sabtu lalu.

Tertuduh, AY Shimah Narayan, 41, bersama B. Sujenthrran, 39; M. Indran, 38; dan M. Sujendran, 39; membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa cuba mencuri kabel Telekom bawah tanah dengan membuka penutup lubang kabel di tepi Jalan Kamunting-Batu Kurau berhampiran Kolej Vokasional Kamunting dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.50 pagi, 15 November 2025.

Pertuduhan terhadap kesemua lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan Seksyen 34 kanun sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, boleh dipenjara dan didenda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam, VS Singaravadivel.

Terdahulu, Nazura mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh, bagaimanapun Singaravadivel memohon jaminan minimum dengan alasan semua anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

Menurut Singaravadivel, tiga daripada tertuduh bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat kawalan keselamatan, juruelektrik dan pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

“Seorang lagi pula bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas swasta. Dia merupakan graduan ijazah sarjana muda undang-undang dan berhasrat untuk meneruskan pengajian di United Kingdom,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN