KUALA LUMPUR: Graduan masa kini perlu bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar dengan pelbagai kecelaruan dan kemerosotan nilai, termasuk ancaman terhadap akhlak, moral dan jati diri akibat kemajuan teknologi yang tidak seiring dengan kekuatan pegangan agama.
Pro-Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, universiti tidak hanya memberi tumpuan kepada ilmu dan kemahiran teknikal berteknologi tinggi, tetapi juga berusaha membentuk graduan yang berakhlak mulia, beradab dan memiliki akal budi yang tinggi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) menegaskan, hanya dengan sahsiah diri yang kukuh serta pegangan agama yang utuh, graduan mampu bertahan dan tidak hanyut dalam arus keduniaan yang kian mencabar.
“Hari ini graduan bakal berhadapan dengan dunia yang penuh kecelaruan, kemerosotan dari segi nilai dan kedangkalan akhlak. Kita berdepan masalah sosial yang boleh menghakis jati diri jika kemajuan teknologi tidak diseiringkan dengan kekuatan akar pekerti dan pegangan agama yang tinggi.
“Negara amat memerlukan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang pekerjaan, tetapi juga mempunyai jati diri yang kukuh serta didukung oleh pegangan agama yang teguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, kebolehpasaran graduan UniKL yang mencecah lebih 97.4 peratus membuktikan keupayaan universiti itu melahirkan tenaga kerja berkualiti yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki keperibadian unggul.
Katanya, kejayaan itu didorong oleh pendekatan holistik UniKL yang mengintegrasikan keperluan pasaran dengan kerjasama strategik bersama badan profesional serta industri dalam dan luar negara.
“Program-program UniKL bukan sekadar akademik semata-mata, tetapi turut membangunkan kemahiran berteknologi tinggi dan nilai moral yang mantap. Graduan UniKL bukan hanya duta universiti, tetapi juga harapan negara,” katanya. – UTUSAN










