KUALA LUMPUR: Ibu kepada penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman, 57, tidak menafikan kata-kata romantis (pick up line) yang diungkapkan Brigidier General Tuan Zainal Abidin Mohammad Salleh membuatkan dia terpaut kepada lelaki tersebut.
Malah, menurut Fauziah kriteria itu jugalah yang membuka hatinya untuk menerima Zainal sebagai suami.
“Pertama mungkin senyumannya. Yang kedua, mungkin dia suka bagi pickup line.
“Pickup line paling power. Tapi tak boleh saya ceritakan apa pick up line itu. Tak boleh nak kongsi,” katanya yang hadir pada pelancaran album terbaharu Shila Amzah di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) di sini, petang tadi.
Fauziah pada Sabtu lalu sah bergelar isteri Tuan Zainal dalam majlis tertutup yang dihadiri keluarga terdekat.
Perkara itu terbongkar selepas duo pereka fesyen, Seth & Luna memuat naik video persiapan pasangan pengantin berkenaan di Instagram mereka.
Fauziah dalam masa yang sama memberitahu anak-anaknya menerima baik keputusnnya untuk mendirikan rumah tangga selepas hampir dua tahun bergelar ibu tunggal.
“Anak-anak semua okey walaupun mereka sebelum itu belum pernah berjumpa suami saya. Mereka tidak membantah dan mahu mendahulukan kebahagiaan saya.
“Apa pun saya gembira sebab selepas dua tahun solo, kini sudah ada peneman. Sekarang lebih seronok sebab ada suami untuk dibawa berborak,” kongsinya.
Fauziah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi era 1980-an, ND Lala. Mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Shahila (Shila Amzah), Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Perkahwinan mereka berakhir apabila ND Lala melafazkan cerai pada 2 Ogos 2023 di sebuah masjid.
Namun perkara tersebut hanya dimaklumkan kepada Fauziah menerusi WhatsApp pada 8 Ogos 2023.
Pada 5 September 2023, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan lafaz cerai yang dibuat ND Lala melalui ‘voice note’ di WhatsApp pada 2 Ogos 2023 adalah sah. – UTUSAN










